Isnin, 2 Mei 2022 | 3:41pm

PATI Rohingya dakwa bot habis minyak, terpaksa merapat ke Malaysia

ALOR SETAR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang ditahan berhampiran Pulau Lima di Langkawi semalam, mendakwa terpaksa memasuki perairan negara selepas bot dinaiki mereka kehabisan minyak.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berdasarkan siasatan awal ke atas tahanan terbabit.

"Siasatan awal mendapati, seorang daripada PATI terbabit mendakwa bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

"Apabila ditanya, katanya bukan nak masuk ke Malaysia, tetapi alasan diberi kerana kehabisan minyak dan sebagainya terpaksa mendarat atau merapat ke perairan Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya hari ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad (berdiri empat dari kiri) bersama beberapa ketua jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah, ketua polis daerah dan rakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya hari ini. - NSTP / ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad (berdiri empat dari kiri) bersama beberapa ketua jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah, ketua polis daerah dan rakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya hari ini. - NSTP / ZULIATY ZULKIFFLI

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, Polis Marin Langkawi menerima laporan mengenai bot membawa sekumpulan 30 PATI Rohingya belayar memasuki perairan negara pada jarak 1.68 batu nautika dari Pulau Lima.

Semua PATI membabitkan 17 lelaki, sembilan wanita dan empat kanak-kanak itu kemudian ditahan dan dibawa balik ke Jeti Pangkalan Polis Marin Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Wan Hassan berkata, siasatan mengenai kes itu masih dijalankan dan pihaknya terpaksa menggunakan bantuan warga Rohingya di negara ini untuk berkomunikasi kerana semua pelarian yang baru mendarat itu tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris.

Dalam pada itu, katanya arahan dikeluarkan supaya kawalan keselamatan sempadan diperketatkan kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi cubaan etnik Rohingya yang disyaki menunggu masa untuk menyeludup masuk ke negara ini.

Katanya, ini kerana pelarian berkenaan akan mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri kerana menganggap anggota keselamatan tidak berkawal.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 63 Akta Imigresen 1963.

Sebahagian PATI yang ditahan Pasukan Polis Marin Kuala Kurau, pada 30 April lalu. - Foto hiasan NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Sebahagian PATI yang ditahan Pasukan Polis Marin Kuala Kurau, pada 30 April lalu. - Foto hiasan NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Berita Harian X