Isnin, 2 Mei 2022 | 10:48am

Kelonggaran SOP: PM nasihat orang ramai terus berhati-hati

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menasihatkan masyarakat supaya kekal melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19.

Ismail Sabri berkata kawalan kendiri tetap perlu dilakukan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling sentiasa dalam keadaan baik.

"Di dalam bangunan masih lagi memakai pelitup muka, diwajibkan, tetapi di luar bangunan di kawasan terbuka seperti ini (masjid) tidak lagi memakai pelitup muka," katanya.

Ismail Sabri juga menzahirkan rasa puas hati beliau terhadap sikap berhati-hati dan amalan kendiri orang ramai dalam mencegah jangkitan COVID-19.

"Tetapi saya lihat sewaktu saya datang tadi, ramai yang berjalan kaki ke masjid ini, masih lagi memakai pelitup muka. Bermakna rakyat masih lagi berhati-hati. Menjaga dan mengawal kendiri untuk kesihatan diri, anak dan keluarga masing-masing.

"Jadi Alhamdulillah. Kita walaupun diberi kebebasan, tidak terlalu terbuka, bebas dan masih lagi berhati-hati, alhamdulillah," katanya ketika ditemui sebelum pulang dari Masjid Wilayah Persekutuan di sini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk sekali lagi mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam.

Pada 27 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

Kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini adalah selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam satu hantaran melalui Facebook berkata, beliau bersyukur dan gembira apabila masjid di seluruh negara dipenuhi jemaah, pagi ini, bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sahabat handai selepas dua tahun tidak dapat melakukannya susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri turut menasihati mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung supaya memandu dengan cermat agar dapat bertemu ahli keluarga dan sanak saudara.

"Marilah kita mengambil keberkatan Syawal untuk kita bermaaf-maafan dan merapatkan ukhuwah Keluarga Malaysia," katanya yang mengakhiri hantaran itu dengan tanda pagar #SelamatHariRayaAidilfitri #maafzahirdanbatin. – BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan jemaah ketika hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan jemaah ketika hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X