Ahad, 1 Mei 2022 | 5:07pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menerima Anugerah Perdana CUEPACS disampaikan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - Foto ihsan CUEPACS
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menerima Anugerah Perdana CUEPACS disampaikan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - Foto ihsan CUEPACS

Manfaatkan teknologi untuk perkhidmatan terbaik - CUEPACS

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu memanfaatkan teknologi terutama platform digital bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Ia berikutan pandemik COVID-19 selama dua tahun memberi dua kesan besar kepada penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata kesan pertama membabitkan tekanan hidup khususnya golongan pekerja berpendapatan rendah B40 manakala kesan kedua dilihat melalui perubahan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh penjawat awam.

Beliau berkata, perubahan penyampaian perkhidmatan ketara terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan hampir keseluruhan sektor ekonomi ditutup.

Katanya, ketika peringkat permulaan PKP dilaksanakan, penjawat awam didedahkan dengan amalan norma kerja serba baharu yang menyaksikan pelbagai usaha dilakukan oleh jabatan kerajaan dan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Sebahagian besar tugas yang dulu dilakukan secara manual dipindah kepada mod digital atau perkhidmatan dalam talian sehingga mengakibatkan ramai yang kekok ketika mula-mula menempuh fasa normal baharu itu.

"Namun, kini ia bukanlah sesuatu yang janggal untuk kakitangan awam di Malaysia menyampaikan perkhidmatan secara dalam talian seperti pembelajaran, persidangan, peperiksaan dan pelbagai tugas lain," katanya pada Sambutan Hari Pekerja CUEPACS secara maya hari ini.

Justeru, Adnan berkata, kakitangan awam perlu memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital.

Beliau berkata, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh oleh kakitangan awam dalam usaha meningkat kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi kehendak orang ramai.

Katanya, mereka tidak dapat mengelak daripada memberi perhatian kepada pendigitalan proses kerja di pelbagai peringkat.

"Wawasan ini mampu dicapai dengan pembabitan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan kakitangan awam itu sendiri.

"Di peringkat kerajaan, komitmen perlu tunjukkan melalui pelaburan modal seperti usaha membangunkan platfom digital termasuk inisiatif penyimpanan awan (cloud storage) yang memerlukan pelaburan besar termasuk penyediaan kemudahan peralatan kepada penjawat awam selaras dengan peredaran zaman," katanya.

Adnan berkata, perhatian juga harus diberi kepada aspek keselamatan siber seperti risiko kebocoran maklumat, manakala ketua jabatan pula bertanggungjawab melakukan perancangan dan pemantauan yang jitu.

Pada masa sama katanya, kakitangan awam perlu bersedia mendepani cabaran dengan berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran digital seperti menghadiri program latihan disediakan kerajaan bagi meningkatkan kompetensi digital ini.

Berikutan itu, beliau berkata, sambutan Hari Pekerja 2022 CUEPACS memilih tema 'Kelestarian Pendigitalan Mendepani Cabaran', bersandarkan realiti masa kini dan bagi memastikan kakitangan awam bersedia serta terus kekal relevan pada masa akan datang untuk membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Adnan berkata, pihaknya juga menyarankan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan peningkatan gaji minimum ke RM1,800 untuk golongan B40 dalam perkhidmatan awam.

Katanya, peningkatan gaji secara bersasar bertujuan membantu 692,309 penjawat awam di negara ini yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Sementara itu, sambutan Hari Pekerja 2022 CUEPACS turut mengiktiraf beberapa tokoh dan badan dengan sembilan anugerah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dianugerahkan Tokoh Hari Pekerja CUEPACS, manakala Anugerah Tokoh Wanita Hari Pekerja CUEPACS diberikan kepada Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Turut menerima pengiktirafan adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menerima Anugerah Perdana CUEPACS dan Anugerah Khas CUEPACS disampaikan kepada Pendaftar Universiti Sains Malaysia, Dr Musa Ali.

Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Negeri pula diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmod Naim; Anugerah Majikan Prihatin Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal).

Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Persekutuan (Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof); Anugerah CUEPACS Negeri Contoh (CUEPACS Kedah) dan Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang CUEPACS (Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis, Semenanjung Malaysia (PACSU).

Berita Harian X