Ahad, 1 Mei 2022 | 1:20pm
Keadaan rumah penduduk Kuala Sat yang rosak akibat dimasuki gajah malam tadi
Keadaan rumah penduduk Kuala Sat yang rosak akibat dimasuki gajah malam tadi

Sekawan gajah ceroboh kampung, rosakkan rumah penduduk

JERANTUT: Kemeriahan penduduk Kampung Kuala Sat dekat Ulu Tembeling di sini membuat persiapan Aidilfitri, terganggu dengan kehadiran tetamu tidak diundang malam tadi.

Rumah seorang penduduk kampung itu diceroboh sekawan gajah ketika mangsa keluar ke bandar Jerantut untuk membeli barangan keperluan untuk persiapan raya.

Rumah milik ibu tunggal, Zainab Musa, 61, rosak teruk apabila kawanan gajah terbabit memasuki rumahnya termasuk bahagian dapur serta memecah dan merosakkan tingkap dan pintu rumah.

Sekumpulan gajah dilihat masih berkeliaran di pinggitr Kampung Kuala Sat, pagi ini.
Sekumpulan gajah dilihat masih berkeliaran di pinggitr Kampung Kuala Sat, pagi ini.

Jirannya, Ahmad Hamzah, 70, yang tinggal, kira-kira 50 meter dari rumah itu, mendakwa terdengar bunyi pokok kayu patah pada kira kira jam 12 tengah malam.

"Ketika itu saya masih menonton televisyen. Apabila dengar bunyi bising dan dahan kayu patah dan tumbang , saya melihat keluar kawasan rumah dan ternampak sekawan gajah dalam lingkungan 20 ekor lebih sedang memakan tanaman seperti pokok pisang, betik, ubi kayu dansayuran keliling rumah jiran itu.

"Kemudian saya nampak gajah yang sederhana besar memecahkan tingkap dan pintu serta memasuki ke dalam rumah jiran itu," katanya.

Katanya, beliau hanya mampu mendiamkan diri, bimbang gajah itu datang ke rumahnya pula sehingga haiwan liar itu beredar kira dua jam selepas itu.

Beliau berkata, jirannya itu ke Jerantut sejak pagi semalam untuk membeli barangan keperluan hari raya dan bermalam di rumah saudaranya.

Ahmad berkata, tindakan gajah itu yang berani menceroboh ke dalam rumah penduduk untuk mencari makan amat merbahaya, kerana ia mungkin akan memasuki rumah lain pula untuk mencari makan.

Katanya, ancaman gajah terhadap kampung itu bukan asing tetapi sebelum ini hanya memasuki kawasan kebun penduduk sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah, berkata pada masa ini kawanan gajah di antara 30 hingga 40 ekor itu masih kelihatan berkeliaran tidakjauh dari kampung itu.

Katanya, beliau bimbang gajah itu akan datang semula ke kawasan kampung untuk mencari makan pada waktu malam.

"Saya sudah membuat laporan dan menghubungi bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liardan Taman Negara (PERHILITAN)," katanya.

Berita Harian X