Ahad, 1 Mei 2022 | 1:04pm
Keadaan aliran trafik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer 269 arah utara berhampiran Gunung Lang sesak dan bergerak perlahan ketika tinjauan hari ini, berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. - Foto BERNAMA
Keadaan aliran trafik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer 269 arah utara berhampiran Gunung Lang sesak dan bergerak perlahan ketika tinjauan hari ini, berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. - Foto BERNAMA

Keluar plaza tol sebelum 11.59 malam untuk tol percuma - PLUS

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang ingin menikmati tol percuma perlu keluar dari plaza tol lebuh raya sebelum jam 11.59 malam ini.

Ini bagi memastikan mereka dapat menikmati tol percuma yang dibuka selama dua hari bermula semalam di lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) itu.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata pengguna lebuh raya perlu keluar dari plaza tol di destinasi yang ingin dituju atau mana-mana plaza tol terdekat sebelum jam 11.59 malam ini.

"Sekiranya pengguna dalam perjalanan di lebuh raya dan waktu tol percuma sudah hampir tamat, mereka perlu keluar dari mana-mana plaza tol yang berdekatan terlebih dahulu untuk menikmati tol percuma itu.

"Selepas itu, boleh masuk semula ke plaza tol untuk menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya. Ini kerana sekiranya mereka gagal keluar dari plaza tol sebelum jam 11.59 malam, mereka akan dikenakan caj atau kadar tol yang normal," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kesesakan trafik masih dilaporkan berlaku di beberapa lokasi Lebuhraya PLUS hari ini, dengan lebih 400,000 kenderaan berada lebuh raya sepanjang jam 6 pagi hingga 12 tengah hari tadi, menuju ke utara dan selatan.

"Setakat jam 11 pagi tadi, trafik ke arah utara dilaporkan bergerak perlahan dari Bandar Baharu ke Jawi, dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering, dari Terowong Menora ke Hentian Sungai Perak arah Utara serta dari Ipoh Selatan ke Jelapang.

"Di bahagian tengah pula, trafik bergerak perlahan dari Tapah ke Gopeng, dari Sungkai ke Tapah, dari Slim River ke Sungkai, dari Behrang ke Slim River, dari Tanjung Malim ke Hentian Tanjung Malim arah Utara dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim.

"Trafik turut perlahan dari Sungai Buaya ke Bukit Tagar, dari Rawang Selatan ke Hentian Rawang arah Utara, dari Putra Mahkota ke Hentian Seremban arah Selatan, dari Hentian Seremban arah Selatan ke Bandar Ainsdale dan dari Bandar Serenia (ELITE) ke Hentian Seremban arah Selatan," katanya.

Sementara itu, katanya trafik di selatan sesak dari Seremban ke Hentian Sebelah Senawang arah Selatan, dari Hentian Pedas Linggi arah Selatan ke Simpang Ampat, dari Ayer Hitam ke Yong Peng, dari Senai ke Kulai dan dari Singapura ke Malaysia (Woodlands ke Johor Bahru).

Mohd Yusuf turut mengingatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi Jadual Perancangan Perjalanan (TTA) dan menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan.

Berita Harian X