Ahad, 1 Mei 2022 | 11:38am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kerajaan teliti undang-undang khusus lindungi pekerja gig

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meneliti keperluan menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja sektor gig.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata KSM memberi jaminan isu status pekerja gig terutama dalam aspek kawal selia aspek perundangan akan diteliti secara komprehensif dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Pasaran pekerjaan kini lebih berorientasikan pasaran pekerja dan tidak lagi terhad kepada pasaran majikan atau 'now it is about employees' market, not employers' market'.

"Justeru, warga kerja mempunyai pilihan untuk menceburi pelbagai sektor pekerjaan lain seperti ekonomi gig yang dapat menawarkan pendapatan lebih tinggi berdasarkan kemahiran mereka," katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini.

Saravanan berkata, kira-kira empat juta rakyat Malaysia ketika ini, menyertai ekonomi gig berbanding hanya 500,000 orang sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Malah, warga kerja mempunyai pilihan untuk menceburi pelbagai sektor pekerjaan lain termasuk ekonomi gig yang dapat menawarkan pendapatan lebih tinggi berdasarkan kemahiran mereka.

"Sehubungan dengan itu, KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil inisiatif memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

"Skim ini memberi perlindungan daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian memutuskan supaya tidak diadakan sambutan Hari Pekerja secara besar-besaran bagi menghormati kemuliaan Ramadan dan dalam kesibukan rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Namun begitu, ia tidak bermakna kita tidak mengiktiraf setiap sumbangan yang diberikan oleh warga pekerja. Tahun ini, 'Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara' dipilih sebagai tema sambutan Hari Pekerja 2022.

"Tema ini selari dengan situasi semasa negara yang kini melalui fasa pemulihan pasca COVID-19 selain beralih ke fasa endemik sejak 1 April lalu dan ia mencerminkan betapa pentingnya peranan warga pekerja dalam usaha memulihkan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X