Ahad, 1 Mei 2022 | 11:16am
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto fail NSTP
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto fail NSTP

Sistem warden lemah punca kes buli

KUALA LUMPUR: Sistem warden dan disiplin yang lemah dikesan antara punca berleluasanya kegiatan buli di sekolah.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu kekurangan warden yang mengawasi pelajar berlaku di hampir semua sekolah dengan mereka dibayar elaun yang sangat rendah.

Bahkan, katanya, ada warden yang bermasalah dan mempunyai rekod jenayah.

"Warden dibebani dengan pelbagai tugas sehingga tidak mampu mengawasi keseluruhan pelajar.

"Ini juga termasuk guru disiplin di sekolah harian yang dibebani tugas yang banyak dan sukar menumpukan perhatian terhadap pemantauan akhlak dan sistem sahsiah diri," katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas insiden kes buli membabitkan 13 pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Langkawi, baru-baru ini.

Lam Thye berkata, selain itu, tindakan berdiam diri dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli turut memburukkan lagi keadaan.

Katanya, ia antara punca pembuli kerap terlepas daripada hukuman.

"Pelajar yang dibuli tidak berani membuka mulut untuk membuat aduan kepada guru, malah pelajar yang melihat rakan lain dibuli juga tidak berani untuk membuat aduan kepada guru kerana takut menjadi mangsa seterusnya," katanya.

Tegas beliau, bagi menangani kejadian seumpamanya terus berulang, pembuli perlu dikenakan hukuman yang tegas sebagai pengajaran sekali gus amaran kepada 'bakal pembuli' untuk tidak melakukan perbuatan sama.

"Terdapat banyak sekolah yang sengaja tidak mahu membesarkan isu ini kerana ingin menjaga nama baik sekolah. Kesannya pelajar yang dibuli mengalami trauma dan buli tetap berterusan di sekolah.

"Justeru, undang-undang lebih tegas diperlukan untuk mencegah buli daripada berlaku.

"Undang-undang dengan tujuan mendidik dan mencegah adalah harapan terakhir dalam mendisiplinkan kelompok pelajar," katanya.

Berita Harian X