Sabtu, 30 April 2022 | 3:13pm
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Inspektor Ahmad Shazili Ayob (kiri) dan anggotanya mengawal lalu lintas di susur keluar Plaza Tol Slim River arah utara dekat Slim River - Foto NSTP/Rosman Shamsudin.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Inspektor Ahmad Shazili Ayob (kiri) dan anggotanya mengawal lalu lintas di susur keluar Plaza Tol Slim River arah utara dekat Slim River - Foto NSTP/Rosman Shamsudin.

Berpanas pastikan trafik lancar

SLIM RIVER: Berpanas dalam terik matahari ketika berpuasa tidak mematahkan semangat anggota dan pegawai polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim mengawal pergerakan trafik di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur terutama di arah utara menjelang Aidilfitri yang sesak sejak pagi tadi.

Walaupun terpaksa berdiri di tengah-tengah persimpangan jalan yang dipenuhi deretan kenderaan, mereka tetap tersenyum dan tegas menjalankan tanggungjawab memudahkan pengguna jalan raya.

Trafik mula sesak di laluan berkenaan arah ke utara apabila warga kota mula pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya sama ada di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara menyebabkan anggota dan pegawai polis terpaksa 'bermandi peluh' bagi memastikan pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi.

Tinjauan sehingga jam 2.30 petang ini, mendapati jumlah kenderaan di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dari Tanjung Malim ke Sungkai terus meningkat luar biasa apabila kesesakan teruk di Kilometer (KM) 367.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Slim River.

Perubahan lorong dari tiga lorong kepada dua lorong di lokasi terbabit dipercayai menjadi punca berlakunya kesesakaan di kawasan berkenaan menyebabkan pengguna keluar dari lebuh raya menuju ke jalan lama.

Kecekapan anggota dan pegawai polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Inspektor Ahmad Shazili Ayob sejak jam 8 pagi lagi berjaya memastikan aliran trafik di jalan berkenaan lancar.

Difahamkan seramai dua orang pegawai bersama enam anggota polis trafik ditugaskan bagi mengawal lalu lintas di daerah Muallim hari ini sehingga jam 12 tengah malam ini.

Berita Harian X