Sabtu, 30 April 2022 | 12:25pm
Facebook Istana Negara
Facebook Istana Negara

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Ahmad Rithauddeen

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara," menurut catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Tengku Ahmad Rithauddeen, 94, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam tadi, akibat sakit tua.

Anaknya Tengku Farith berkata, Tengku Ahmad Rithauddeen mengalami strok dua minggu lepas dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj, namun pagi semalam Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).

Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986). – BERNAMA

Berita Harian X