Sabtu, 30 April 2022 | 12:08pm
Jumlah kenderaan yang menggunakan susur keluar dan masuk di Plaza Tol Slim River menuju ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara semakin bertambah bagi mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River pagi ini - Foto NSTO/Rosman Shamsudin.
Jumlah kenderaan yang menggunakan susur keluar dan masuk di Plaza Tol Slim River menuju ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara semakin bertambah bagi mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River pagi ini - Foto NSTO/Rosman Shamsudin.

Ramai keluar ke jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh

SLIM RIVER: Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Tanjung Malim - Slim River mulai pelahan berikutan berlaku pertambahan jumlah kenderaan menjelang Aidilfitri kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Pertambahan jumlah kenderaan turut berlaku di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dari Tanjung Malim - Sungkai.

Ramai pengguna lebuh raya mula melencongkan kenderaan mereka ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dengan menggunakan susur keluar dan masuk di Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.

Tinjuan mendapati , di susur keluar dan masuk dekat Plaza Tol Behrang agak lenggang jika dibandingkan dengan susur keluar dan masuk dekat Plaza Tol Slim River.

Susur keluar dan masuk di Plaza Tol Slim River mula sesak berikutan pemandu menggunakan susur keluar berkenaan bagi mengelak kesesakan yang dilaporkan berlaku di lebuh raya.

Jalan empat lorong di sesetengah kawasan di kedua-dua arah dekat Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur menjadikan aliran trafik dari Slim River ke Tapah berjalan lancar sebelum pengguna melencongkan kembali kenderaan ke lebuh raya dengan menggunakan Plaza Tol Sungkai, Bidor atau Tapah.

Malah tinjauan dari atas jejantas di lebuh raya berdekatan FELDA Sungai Behrang dan Behrang Ulu mendapati aliran trafik masih lagi lancar.

Namun begitu, jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dijangka terus meningkat pada tengah hari dan petang ini.

Berita Harian X