Jumaat, 29 April 2022 | 9:09pm
Abdul Aziz mengagihkan juadah sahur kepada petugas di IPD Dang Wangi. - Foto ihsan UMP
Abdul Aziz mengagihkan juadah sahur kepada petugas di IPD Dang Wangi. - Foto ihsan UMP

Sukarelawan KILAU UMP edar juadah sahur

KUALA LUMPUR: Seramai 40 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) terdiri kakitangan dan pelajar mengagihkan 350 pek juadah sahur pada Program Singgah Sahur@Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Program bermula dengan serahan bantuan keperluan diri seperti kit kebersihan, tuala dan makanan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL).

Turut menerima sumbangan, Pegawai Operasi PTGKL, Syed Anas Syed Ali.

Sehingga kini, sebanyak 1,000 pek sahur disumbangkan kepada penerima dalam program berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata program itu membuka peluang kepada sukarelawan pelajar dan kakitangan bersama-sama menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan gelandangan yang memerlukan perhatian masyarakat.

"Sukarelawan juga mendapat pendedahan mengenai realiti sebagai barisan hadapan dan kehidupan golongan gelandangan di ibu kota.

"Selain itu, sejumlah RM250,000 disumbangkan Yayasan UMP bagi penyediaan iftar untuk pelajar serta agihan sumbangan makanan dan bantuan kepada komuniti," katanya yang juga Pengerusi Yayasan UMP.

Program Singgah Sahur itu diselaras Sekretariat Sukarelawan Yayasan UMP di bawah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) bagi menunjukkan keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan penghargaan kepada kakitangan awam dari agensi kerajaan yang bertugas pada waktu malam.

Terdahulu, UMP turut melakukan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan disambut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Berita Harian X