Jumaat, 29 April 2022 | 2:13pm

Tiket bas di TBS masih ada

KUALA LUMPUR: Sebanyak 53,500 tiket bas masih boleh diperoleh di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Aidilfitri ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tiket yang masih ada adalah bagi kawasan Utara sebanyak 17,850 tiket, Selatan (23,800 tiket) dan Timur (11,900 tiket).

"Setakat ini sebanyak 23,595 atau kira-kira 30 peratus dari 77,145 tiket bas dijual di TBS membabitkan sebanyak 6,592 trip perjalanan dari 29 April sehingga 8 Mei.

"Sebanyak 933 tiket turut dijual menerusi manfaat inisiatif ePemula Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri pada 15 April lalu membabitkan jumlah jualan bernilai RM40,215," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di TBS, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, sempena Aidilfitri kali ini juga, sebanyak 97 bas tambahan disediakan berbanding sebanyak 318 bas pada tahun 2019 dan 136 bas pada 2018.

Beliau berkata, permintaan bas tambahan kali ini menurun berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, ia menunjukkan peningkatan permintaan sekali gus menjadi titik pemulihan industri pengangkutan awam khasnya perkhidmatan bas ekspres selepas negara beralih kepada fasa endemik pada 1 April lalu," katanya.

Beliau berkata, faktor keselamatan kekal menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan bas tambahan yang akan digunakan disaring terlebih dahulu.

Selain itu katanya, sebelum mendapat kelulusan Lesen Perubahan Sementara (LPS), bas berkenaan turut perlu dipasang sistem kedudukan global (GPS) serta melakukan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan had usia bas tidak lebih 10 tahun.

"Pihak TBS juga sudah mengambil langkah persediaan untuk menerima jumlah penumpang yang tinggi bermula hari ini sehingga 10 Mei.

"Ini termasuk penambahan kaunter urusan tiket, kawalan keselamatan 24 jam menerusi 623 litar kemera tertutup (CCTV) dan operasi bersepadu bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PUSPAKOM bermula 25 April hingga 8 Mei 2022 membabitkan 15 anggota penguatkuasa pada setiap masa," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa 1 Mei ini, Ka Siong berkata, ia sudah pasti akan memberi kesan besar bagi sektor pengangkutan.

Katanya, keputusan menggugurkan keperluan melakukan ujian pengesanan COVID-19 ketika ketibaan bagi pengembara juga dijangka dapat menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

"Ini sudah pasti dapat menyemarakkan sektor pelancongan negara seterusnya pemulihan ekonomi bagi sektor pengangkutan awam negara," katanya.

Berkenaan peningkatan kenderaan di lebuh raya mulai hari ini, Ka Siong berkata, ia sudah dijangkakan selepas hampir dua tahun rakyat tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Beliau berkata, tiada sekatan jalan raya akan dibuat bagi memeriksa kenderaan di jalan supaya perjalanan lebih lancar, namun hanya advokasi sambil menyantuni masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan.

Orang awam membeli tiket bas ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Orang awam membeli tiket bas ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X