Jumaat, 29 April 2022 | 2:04pm
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto fail
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto fail

KDN cadang keluarkan kad pengesahan pelarian

PUTRAJAYA: Pengeluaran kad pengesahan dan identifikasi status pemohon suaka di negara ini seharusnya dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan bukan mana-mana pihak lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia berikutan hanya ada satu badan di negara ini yang boleh mendaftarkan seseorang tinggal dengan sah iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, ketika ini Kerajaan sedang merancang mengeluarkan satu kad pengesahan status pelarian terhadap mana-mana individu yang memohon perlindungan di negara ini.

"Tiba-tiba (kenapa) ada pula orang lain yang membuat pendaftaran di negara kita ini?

"Saya nak maklumkan bahawa kita sedang mencari jalan untuk hanya menerima pengesahan kad yang dikeluarkan oleh agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bukan daripada mana-mana pihak yang mengaku bahawa ini adalah kad yang sah dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Siapa nak pastikan? Malaysia yang patut memastikan sama ada orang itu sah boleh tinggal dengan kad yang kita boleh berikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Pada April 2020, Hamzah dilaporkan berkata, Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Hamzah berkata, isu pelarian Rohingya di negara ini sudah lama dan kira-kira 150,000 yang sudah berdaftar dengan UNHCR.

Beliau berkata, rakyat negara ini perlu memahami bahawa Kerajaan tidak menahan mana-mana pelarian yang memasuki Malaysia dengan dokumen sah seperti yang dilakukan terhadap pelarian dari Syria dan Afghanistan.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihak berkuasa masih memburu baki seramai 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 20 April lalu.

"Kita hanya tinggal 61 pelarian yang masih diburu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kita masih belum dapat kenalpasti di mana kedudukan mereka," katanya.

Ditanya mengenai desakan penduduk di sekitar Depoh Tahanan Imigresen Sementara Relau, supaya ia ditutup atas faktor keselamatan, Hamzah berkata, perkara itu akan dikaji semula.

Pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh danmelarikan diri termasuk enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Berita Harian X