Khamis, 28 April 2022 | 2:15pm

KPDNHEP lanjutkan tempoh Skim Harga Maksimum 4 hari lagi

JOHOR BAHRU: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 selama empat hari lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata SHMMP HRP 2022 yang bermula 26 April lalu sepatutnya tamat 6 Mei ini, namun dilanjutkan sehingga 10 Mei berikutan permintaan ramai.

"Kita menerima maklumat masyarakat umum merayu supaya SHMMP HRP 2022 dipanjangkan lagi.

"Ini kerana, ramai beranggapan skim yang tamat pada 6 Mei ini iaitu selepas tiga Aidilfitri tidak mencukupi kerana mereka masih perlu membeli barangan kerana ramai masih bercuti untuk berhari raya.

"Jadi, kerajaan memutuskan menambah empat hari lagi tempoh SHMMP HRP 2022," katanya ketika mengadakan lawatan ke Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, hari ini.

Pada 21 April lalu, sebanyak 22 jenis barangan dilaporkan ditetapkan dijual pada harga maksimum melalui SHMMP HRP 2022 bermula 26 April hingga 6 Mei ini.

Alexander dilaporkan berkata, ia membabitkan barangan kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau serta sayuran.

Turut dikuatkuasakan, enam barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam yang ditetapkan sebelum ini.

Senarai barangan dikawal membabitkan daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak saja), daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan saja).

Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kilogram (kg) ) ikan selayang (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kg), ikan aya atau tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kg), ikan Demudok atau Sagai/Cermin/Cupak (Sabah saja).

Sayuran pula membabitkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih (China), ubi Kentang Import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong saja), dan kelapa parut (runcit saja).

Alexander (kiri) memberi penerangan Petrol RON 95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini, hari ini . - Foto NSTP/Omar Ahmad
Alexander (kiri) memberi penerangan Petrol RON 95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini, hari ini . - Foto NSTP/Omar Ahmad
Berita Harian X