X
Khamis, 28 April 2022 | 12:01pm
Gambar fail dua lelaki Rohingya berjaya ditahan anggota polis tidak lama selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau pada 20 April lalu. - BERNAMA
Gambar fail dua lelaki Rohingya berjaya ditahan anggota polis tidak lama selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau pada 20 April lalu. - BERNAMA

Rohingya lolos depot tahanan Relau ada di Selayang

KUALA LUMPUR: Etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau di Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu, dikesan berada di sekitar Selayang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi sebenar pelarian berkenaan sebelum tindakan diambil.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kemungkinan komuniti mereka sendiri membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

"Kita percaya ada di antara mereka yang tahu selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana pernah tinggal di kawasan ini," katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas ialah 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu mereka.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan melarikan diri selepas merusuh, namun enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini, manakala bakinya sedang diburu polis.

Berita Harian X