Rabu, 27 April 2022 | 5:11pm
Datuk Mohd Shafiq Abdullah
Datuk Mohd Shafiq Abdullah

Ketua jabatan perlu beri kerjasama siasatan SPRM, PDRM - KPPA

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Mohd Shafiq Abdullah mengingatkan semua ketua jabatan supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi siasatan jika ada pegawai di bawah seliaan mereka terbabit dengan jenayah.

Beliau menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandang serius isu pegawai awam yang terbabit dengan gejala rasuah dan apa-apa jua bentuk kesalahan jenayah.

"Semua ketua jabatan perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi siasatan atau penguatkuasaan jika ada pegawai seliaan mereka terlibat dengan jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga mahu ketua jabatan menyediakan mekanisme kawalan bagi menutup peluang dan ruang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan penjawat di agensi masing-masing.

Katanya, ia termasuk pendigitalan proses kerja, semakan semula ke atas pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan sebagainya.

"Tindakan berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah. Penambahbaikan ini adalah untuk memastikan segala tatacara pengurusan kewangan, projek dan perolehan kerajaan dipatuhi sepenuhnya, tanpa sebarang kompromi.

"Sebarang kegagalan di pihak ketua jabatan untuk memastikan pematuhan peraturan akan disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab.

"Mereka boleh dikenakan tindakan sewajarnya selaras dengan Peraturan 3C P.U.(A) 395/1993 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan perkhidmatan awam bebas rasuah, beliau menegaskan, kefahaman dan pembabitan masyarakat berkaitan amalan serta perlakuan rasuah amat dituntut dan pelaporan segera kepada agensi berkaitan hendaklah dijadikan budaya.

"Setiap individu hendaklah memainkan peranan untuk mencegah gejala rasuah dengan menghayati dan menterjemahkan nilai integriti dalam melaksanakan tugasan harian.

"Usaha berterusan ini hendaklah dilaksanakan oleh semua kementerian, jabatan atau agensi bagi memastikan negara ini khususnya perkhidmatan awam Malaysia bebas rasuah," katanya.

Shafiq berkata, kakitangan awam yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Berita Harian X