Rabu, 27 April 2022 | 11:12am
Cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris dilihat sebagai usaha mengembalikan diskriminasi pendidikan yang diwujudkan penjajah Inggeris dahulu. - BERNAMA
Cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris dilihat sebagai usaha mengembalikan diskriminasi pendidikan yang diwujudkan penjajah Inggeris dahulu. - BERNAMA

Sekolah aliran Inggeris kembalikan diskriminasi pendidikan - iGuru

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menolak cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris kerana bimbang ia akan mengembalikan diskriminasi pendidikan.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya melihat cadangan kumpulan tertentu untuk mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu usaha untuk mengembalikan diskriminasi pendidikan yang diwujudkan penjajah Inggeris dahulu.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebaliknya perlu meningkatkan usaha memastikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Melaluinya, penekanan perlu diberikan kepada penyediaan tenaga pakar, pedagogi, prasarana dan kesediaan murid serta diberikan nafas baharu.

"Hakikatnya, iGuru tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia dan ia mesti dikuasai murid terutama untuk mereka belajar dalam bidang sains dan teknologi yang memerlukan penguasaan bahasa itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, langkah mewujudkan sekolah aliran Inggeris mampu melebarkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, bahkan diskriminasi juga menutup peluang kepada anak dari keluarga berpendapatan rendah, sedangkan pendidikan perlu diberikan secara adil dan saksama kepada semua murid di semua sekolah dan di setiap daerah.

"KPM perlu kembali memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dengan pendekatan lebih akomodatif, konstruktif, dinamik dan holistik," katanya.

Dalam pada itu, Azizee berkata, iGuru mencadangkan pengajaran bahasa Inggeris ditumpukan kepada aspek komunikasi dan bukannya difokuskan kepada berkonsepkan peperiksaan di tahap satu, dengan penilaian peperiksaan boleh dilaksanakan secara pentaksiran bilik darjah (PBD).

Selain itu, katanya pelaksanaan Program Imersif Tinggi (HIP) perlu diperhalusi sejajar usaha pengukuhan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

"Penyediaan tenaga pakar guru Bahasa Inggeris juga perlu termasuk mengkaji keberkesanan program dwibahasa (DLP) di sekolah. Ini kerana, sebahagian guru Sains dan Matematik tidak menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran, serta lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

"Pendekatan baharu kepada pengajaran STEM juga perlu dicari dengan olahan terkini sesuai perkembangan pembelajaran secara digital," katanya.

Berita Harian X