Rabu, 27 April 2022 | 8:51am
Tapir Malaya.
Tapir Malaya.

18 Tapir Malaya berjaya dilahirkan dalam kurungan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 18 ekor Tapir Malaya berjaya dilahirkan dalam kurungan melalui program pembiakan spesies itu di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun di Selangor.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia sebahagian usaha konservasi pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berdasarkan kaedah pemuliharaan diluar habitat asal atau ex-situ.

Melalui konsep sama juga, katanya 14 Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak 2008.

"Usaha (konservasi ex-situ) akan terus diperkasakan melalui penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada 2025.

"Mengenai pemuliharaan di habitat asal atau in-situ pula, langkah pemuliharaan digerakkan dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi, selain melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, lampu ambar solar dan papan tanda hidupan liar melintas di beberapa lokasi dikenal pasti," katanya melalui kenyataan sempena Hari Tapir Sedunia 2022 yang disambut hari ini.

Hari Tapir Sedunia yang disambut 27 April setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies Tapir dan habitatnya.

Takiyuddin berkata, pihak kementerian melalui PERHILITAN akan terus mempergiatkan usaha konservasi Tapir Malaya dan habitatnya melalui dua kaedah terbabit iaitu in-situ dan ex-situ.

Beliau berkata, Malaysia bertuah kerana mempunyai Tapir Malaya yang juga spesies tapir terbesar di dunia.

"Tapir Malaya berbeza dengan spesies tapir lain di dunia kerana ia satu-satunya spesies itu yang mempunyai dua warna yang jelas iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.

"Tapir Malaya antara spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan ia juga spesies terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan Daftar Merah Haiwan Terancam untuk Semenanjung Malaysia 2017," katanya.

Justeru, sempena Hari Tapir Sedunia 2022, beliau menyeru semua pihak memperbaharui tekad serta bersama-sama memainkan peranan dalam konservasi Tapir Malaya dengan menjaga habitatnya dan memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan yang mempunyai papan tanda hidupan liar melintas.

"Marilah kita melindungi khazanah negara yang tidak ternilai ini untuk diwariskan kepada generasi masa depan," katanya.

Berita Harian X