Selasa, 26 April 2022 | 11:20pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

500 tahfiz berpeluang sertai kursus TVET

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membuka peluang kepada 500 pelajar tahfiz untuk mengikuti kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi pendidikan TVET bawah kementeriannya.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pelajar tahfiz yang menyertai kursus TVET itu akan mengikuti pembelajaran selama enam bulan sebelum diberikan sijil mengikut kemahiran yang dipilih.

Beliau berkata, pelajar tahfiz yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), boleh menyertai kursus kemahiran seperti membaiki motosikal atau alat pendingin hawa.

"Apabila selesai menjalani kursus, mereka akan menerima sijil bagi membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Iftar kementeriannya di sini, hari ini.

Pada program itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan KPLB melalui Kelab Kebajikan dan Sukan KPLB iaitu wang tunai kepada 103 penerima terdiri daripada kakitangan KPLB, Institut Kajian Desa (INFRA), pengawal keselamatan dan petugas syarikat fasiliti.

Mahdzir berkata, ketika ini kementerian sedang giat menjalankan projek pembangunan rakyat di kawasan luar bandar.

Katanya, KPLB akan memantau projek sedia ada supaya ia berjalan mengikut garis masa ditetapkan.

Berita Harian X