Selasa, 26 April 2022 | 10:18pm
Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu. Gambar fail NSTP
Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu. Gambar fail NSTP

Imigresen nafi dakwaan depot sesak, kurang petugas

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen (Imigresen) menafikan dakwaan bahawa Depot Imigresen di Lenggeng, Negeri Sembilan sesak dan tiga depot lain kekurangan petugas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depot Imigresen seluruh Malaysia termasuk tiga depot Imigresen sementara adalah 21,150 orang, sedangkan jumlah tahanan di semua depot berkenaan adalah kira-kira 17,000 orang sehingga 24 April.

Katanya, ia terdiri daripada 12,895 lelaki, 3,211 perempuan, 851 kanak-kanak lelaki dan 677 kanak-kanak perempuan dengan kesemua kanak-kanak ditempatkan bersama penjaga mereka.

"Jumlah kapasiti tahanan di Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan adalah seramai 1,000 orang iaitu 800 lelaki dan 200 perempuan.

"Sehingga 24 April tahun ini, jumlah tahanan di Depot Imigresen Lenggeng adalah seramai 779 orang terdiri daripada 583 lelaki, 173 perempuan, 15 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dari segi perjawatan, jabatan itu telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depot pada tahun 2019 dengan mengambil kira keperluan sebenar pegawai dan dipersetujui oleh agensi pusat termasuk tambahan jawatan di empat pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, Imigresen sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depot-depot tahanan secara berterusan.

Beliau berkata demikian susulan laporan media tempatan hari ini berhubung kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang mendakwa keadaan Depot Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan sesak dengan tahanan, manakala tiga depot lain kekurangan petugas.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya mengambil serius kenyataan itu yang disifatkan tidak berasaskan fakta dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot Imigresen di seluruh negara.

"Di dalam pengurusan Depot Imigresen, Imigresen sentiasa mematuhi ketetapan di dalam Peraturan Minimum Standard Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Tahanan (The Nelson Mandela Rules), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot 2003), Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pengurusan dan Pentadbiran Depot Imigresen dan garis panduan ICRC (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah) untuk aspek kesihatan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X