Selasa, 26 April 2022 | 6:07pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) ketika meninjau harga ayam segar pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di AEON Mall, Nilai. - NSTP/Azrul Edham
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) ketika meninjau harga ayam segar pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di AEON Mall, Nilai. - NSTP/Azrul Edham

Sektor peruncitan catat nilai jualan RM48.8 bilion

NILAI: Sektor ekonomi, terutama peruncitan dalam negara ketika ini menunjukkan perkembangan positif sebaik peralihan fasa ke endemik, bermula 1 April lalu, apabila mencatatkan nilai jualan RM48.8 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sumbangan sektor peruncitan adalah sangat signifikan kepada pemulihan ekonomi negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang terkini, katanya, prestasi sektor perdagangan dan pengedaran bagi Februari 2022 merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Saya percaya pencapaian ini dapat dipertingkatkan lagi dengan sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya pemain industri peruncitan dan rakyat Malaysia amnya.

"Pencapaian ini juga tentunya didorong oleh pembukaan sektor ekonomi yang lebih menyeluruh dengan disokong oleh perbelanjaan domestik yang cukup di musim perayaan khususnya pada Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

"Oleh itu, saya sangat berharap sambutan Aidilfitri tahun ini akan dapat merancakkan lagi sumbangan sektor peruncitan kepada ekonomi negara dan dapat menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 billion menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Melancarkan Program Jualan Malaysia 2022 Rancak Aidilfitri di Aeon Mall, di sini, petang ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin dan Pengerusi Aeon Malaysia, Datuk Iskandar Sarudin.

Alexander berkata, pihaknya berharap Program Rancak Aidilfitri yang julung kali diadakan ini akan dapat menyokong usaha pemulihan ekonomi melalui sektor peruncitan dengan berteraskan konsep pemulihan, menghidupkan semula dan merancakkan (3R).

Beliau berkata, program berkenaan adalah antara program yang dirancang di bawah Takwin Program Jualan Malaysia 2020 yang menawarkan jualan murah sepanjang masa di seluruh negara.

Katanya, KPDNHEP melalui pelbagai inisiatif akan sentiasa meneruskan usaha untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai program untuk membantu rakyat mendapatkan barangan asas dan keperluan pada harga berpatutan.

Beliau berkata, di bawah fasa peralihan endemik, kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran kepada pihak industri peruncitan dan pengguna.

Katanya, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang perlu dipatuhi sepanjang dua tahun lalu sudah digantikan kepada siri garis panduan untuk hidup dan bekerja secara selamat dengan COVID-19.

"Saya amat gembira dengan perkembangan sektor ekonomi dalam negara ketika ini ketika peralihan fasa endemik ini apabila industri peruncitan kembali bernafas.

"Inilah masa terbaik untuk kita semua kembali merancakkan perniagaan masing-masing dengan mengadakan tawaran istimewa sempena musim perayaan yang bakal menjelang," katanya.

Berita Harian X