Selasa, 26 April 2022 | 3:11pm
Noh diiringi Halim (tiga dari kiri) melihat lori baharu pada majlis perasmian Lori-Lori Baru Mesra Transportation di Ampang hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Noh diiringi Halim (tiga dari kiri) melihat lori baharu pada majlis perasmian Lori-Lori Baru Mesra Transportation di Ampang hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUSKOP gesa Akta Kredit Pengguna dilaksana segera

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyarankan Akta Kredit Pengguna dapat dilaksanakan secepat mungkin dalam usaha membantu menyelaras dan mengawal pinjaman terutama sewa beli.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata perkara itu pernah dibangkitkan beliau ketika berada dalam Parlimen bagi membela nasib peminjam, namun ia masih belum diberikan perhatian.

Beliau berkata, hampir semua pengusaha sektor pengangkutan yang meminjam dengan syarikat kredit tidak mendapat keistimewaan moratorium yang akhirnya aset pengangkutan mereka dilelong.

"Namun, status akta itu masih belum diketahui kerana ia berada di bawah Kementerian Kewangan.

"Justeru, pada masa sama, saya juga menyarankan pengusaha yang ingin mendapatkan bantuan untuk bangkit semula juga boleh memohon pinjaman daripada dua bank di bawah KUSKOP, iaitu Bank Rakyat dan SME Bank.

"Dua bank ini menyediakan peruntukan untuk kemudahan sewa beli bernilai lebih RM300 juta dan ini adalah peluang untuk mereka," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Lori-Lori Baharu Mesra Transportation, di sini, hari ini.

Noh turut menegaskan, semua agensi yang memberi bantuan pinjaman perlu memberi lebih perhatian kepada usahawan yang merayu untuk menyusun semula pembayaran pinjaman mereka.

"Jika mereka ini terbukti jelas tidak mampu bayar ansuran, beri perhatian supaya mereka ini dapat momentum untuk sama-sama bersaing semula dalam perniagaan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mesra Transportation, Halim Shah Abd Hamid berkata, dalam tempoh setahun syarikatnya berjaya mempunyai 19 lori dan lima van dengan kekuatan 60 pekerja.

"Justeru, saya berharap bantuan daripada kerajaan dapat memberi ruang dan peluang untuk saya terus membuka peluang pekerjaan kepada sesiapa bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Pada masa sama, kami juga memberi kembali dengan cara setiap hasil yang diperoleh sebanyak tiga peratus akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Berita Harian X