KUALA LUMPUR: "Buanglah ke dalam tong sampah dan bukan ke dalam longkang ataupun sungai" demikian rayuan syarikat konsesi Alam Flora apabila mendapati banyak sampah sarap dalam sistem perparitan sehingga tersumbat menyebabkan banjir kilat berulang di ibu kota semalam.
Syarikat itu menerusi hantaran di Facebook turut berharap orang ramai bersama membantu mengurangkan masalah sampah hanyut dengan membuang sampah di tempat yang betul.
"Sayangi bandar raya kita. Bandar bersih hidup lestari," kata syarikat itu.
Terdahulu, Skuad khas Alam Flora giat menjalankan operasi pembersihan sampah sarap yang dibawa oleh arus banjir petang semalam.
Kelihatan pasukan itu menjalankan tugas pembersihan pada waktu malam apabila keadaan jalan kurang sesak bagi memudahkan kerja.
Semalam, beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam.
Antara laluan yang sesak dan dinaiki air adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.
Keadaan itu turut mengakibatkan berlaku kesesakan teruk berikutan berlaku pada waktu puncak orang ramai pulang dari tempat kerja.