X
Isnin, 25 April 2022 | 7:10pm
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Rosmah gagal lagi minta hakim tarik diri

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal dalam permohonannya supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, menarik diri daripada mendengar kesnya berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Ini adalah kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan selepas Mohamed Zaini, yang juga hakim bagi kes hibrid solar membabitkan Rosmah, menolak permohonan Rosmah yang dibuat pada 14 Disember bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini dalam menolak permohonan Rosmah itu berkata, permohonan kedua ini adalah berdasarkan kepada asas sama dengan permohonan pertama, iaitu beliau juga hakim yang membicarakan kes hibrid solar Rosmah.

Hakim itu berkata, bagaimanapun pemohon (Rosmah) kini telah memohon untuk memasukkan dua lagi kes yang beliau kendalikan iaitu kes pelucuthakan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang mana pemohon adalah salah seorang responden dan kes audit 1MDB.

"Apa yang pemohon lakukan dengan memasukkan dua kes tambahan itu, hanya menambah 'warna' pada permohonannya.

"Bagaimanapun pada asasnya sama seperti alasan yang dikemukakan pada permohonan pertama, kerana ia berkaitan kepada pembabitkan dan keputusan yang saya buat dalam kes-kes ini.

"Saya perlu tambah bahawa saya bingung apabila pemohon menyebut kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB dalam permohonannya.

"Dalam kes pelucuthakan 1MDB, saya menolak permohonan pendakwaan untuk melucuthakan harta miliknya.

"Kes audit 1MDB sebaliknya tidak berkaitan dengan pemohon langsung. Saya berpandangan pemohon perlu dihentikan daripada mengemukakan permohonan lagi untuk penarikan diri hakim. Doktrin 'res judicata' terpakai dalam permohonan kedua ini," katanya.

Mohd Zaini berkata, hujah awal yang dikemukakan oleh pemohon dalam kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB boleh dilihat semula dalam permohonan pertama, kerana ia berada dalam pengetahuan pemohon pada ketika permohonan pertama dibuat.

"Kepentingan awam menuntut mesti ada penamat kepada litigasi, dan pihak-pihak berkenaan tidak seharusnya dibenarkan untuk membuat litigasi terhadap isu yang sama berulang kali, maka dengan ini permohonan pemohon adalah ditolak," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, untuk menangguhkan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang ditetapkan pada 27 April, sementara menunggu penyelesaian rayuan Rosmah mengenai keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

"Dengan ini perbicaraan ditangguhkan," kata hakim itu selepas pihak pendakwaan tidak menolak permohonan untuk penangguhan itu.

Rayuan Rosmah berhubung permohonan pertama belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan. Kes rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Mei.

Sementara itu, Mohamed Zaini menetapkan 24 Mei untuk sebut semula kes permohonan Rosmah melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, daripada bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes pengubahan wang haramnya.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – BERNAMA

Berita Harian X