Isnin, 25 April 2022 | 6:17pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Rohingya yang masih bebas. Gambar fail NSTP
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Rohingya yang masih bebas. Gambar fail NSTP

Hanya baki 61 tahanan etnik Rohingya sedang diburu

ALOR SETAR: Lapan lagi tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, 20 April lalu ditemui hari ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata sehingga jam 3 petang ini, seramai 61 tahanan pelarian itu masih dikesan menerusi operasi yang dilakukan.

Setakat ini, katanya, jumlah tahanan yang ditemui semula adalah seramai 467 orang iaitu 243 lelaki, 91 wanita, 68 kanak-kanak lelaki dan 65 kanak-kanak perempuan.

"Baki 61 orang yang belum ditemui adalah 51 lelaki, enam wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

"Jumlah terkini tahanan yang masih dalam depot adalah seramai lapan orang yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, operasi akan diteruskan di lokasi tertentu dalam Op Kesan yang dilakukan membabitkan polis dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam kejadian 20 April lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Berita Harian X