Isnin, 25 April 2022 | 11:28am
Pemandangan luar depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia di Lenggeng, Negeri Sembilan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pemandangan luar depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia di Lenggeng, Negeri Sembilan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Depot imigresen Lenggeng sesak, kurang kakitangan

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memaklumkan keadaan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan sesak dengan tahanan, manakala tiga premis sama kekurangan kakitangan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata selain di Lenggeng, dua lagi depot tahanan yang dikesan mengalami kekurangan kakitangan itu ialah Langkawi dan Belantik masing-masing di Kedah.

Katanya, perkara itu dikesan berdasarkan pemerhatian pihaknya semasa lawatan pemantauannya di pusat tahanan imigresen.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berdukacita dengan kejadian di mana enam pelarian Myanmar termasuk dua kanak-kanak maut ketika cuba menyeberangi lebuh raya, semasa ratusan pelarian melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu pada 20 April lalu.

Katanya, kebanyakan tahanan migran dihantar pulang ke negara asal melalui campur tangan wakil kedutaan negara masing-masing,

"Namun pelarian Rohingya di Malaysia tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana peruntukan di bawah undang-undang adat antarabangsa, prinsip non-refoulement (melarang penolakan) memberi jaminan bahawa tiada sesiapa harus dihantar pulang ke negara asal di mana mereka akan mengalami penindasan.

"Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi Malaysia sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).

"Perkara 22 CRC menyatakan bahawa negara pihak harus memastikan kanak-kanak yang mencari status pelarian, atau kanak-kanak yang sudah disahkan sebagai pelarian hendaklah diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pencari suaka atau yang diberikan status pelarian berhak mendapat hak mereka di bawah empat prinsip utama CRC iaitu tidak boleh didiskriminasi, perlu dilayan dengan kemanusiaan dan rasa hormat, suara harus didengari dan kepentingan terbaik harus diberi keutamaan.

Dalam pada itu, Noor Aziah turut menggesa kerajaan mengambil lima langkah bagi mengelak insiden seperti berlaku di Depot Sementara Relau pada 20 Mei berulang.

Antaranya termasuk memberi kebenaran kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengeluarkan kad UNHCR kepada semua pelarian Rohingya, terutamanya yang terbabit dalam rusuhan baru-baru ini.

Beliau berkata, program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi ke arah penyelesaian jangka panjang, dalam bentuk penempatan semula ke negara ketiga.

"Kerajaan juga perlu menubuhkan badan bebas terdiri wakil selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kejadian terbabit, selain tidak menghukum pelarian Rohingya yang ditangkap semula atau menimbulkan ketakutan atau kebencian dalam kalangan penduduk tempatan di Relau terhadap pelarian Rohingya yang masih bebas.

"Akhir sekali, kerajaan perlu membabitkan kanak-kanak Rohingya dalam projek rintis alternatif kepada penahanan kerana mereka mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran lebih selamat dan kondusif, selain menambah lebih ramai kakitangan di depot imigresen yang kekurangan kakitangan," katanya.

Berita Harian X