Ahad, 24 April 2022 | 12:38pm
Nazrey menyanyikan nasyid pada majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro HALUAN Fitrah Cawangan Negeri Sembilan malam tadi - Foto NSTP/ Azrul Edham
Nazrey menyanyikan nasyid pada majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro HALUAN Fitrah Cawangan Negeri Sembilan malam tadi - Foto NSTP/ Azrul Edham

Nazrey Raihan cari dana bina semula pusat tahfiz

SEREMBAN: Bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani sedang mengumpulkan dana pembinaan semula sebuah pusat tahfiz kelolaannya di Ranau, Sabah, yang rosak akibat pergerakan tanah pada November lalu.

Nazrey menganggarkan pembinaan semula Al Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon itu menelan belanja kira-kira RM6 juta dan kini hanya mampu mengumpul kurang daripada 1 peratus.

Beliau yang terkenal dengan lagu Iman Mutiara ketika bersama Raihan berkata, kejadian pada November lalu menyebabkan pusat pengajian berkenaan terpaksa ditutup kerana tidak selamat diduduki dan pelajar dinasihatkan supaya menyambung pengajian di tempat lain.

"Madrasah ini menempatkan kira-kira 30 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang mana mereka belajar dan menginap di sana. Apabila berlaku pergerakan tanah, bahagian bawah bangunan madrasah itu mula mendap, lantainya pecah dan rosak teruk.

"Jadi demi keselamatan anak-anak, kami hentikan operasi pendidikan tahun ini dan kini dalam usaha mengumpul dana untuk pembinaan semula," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkininya.

Nazrey ditemui pada Majlis Iftar Amal Mualaf Bersama Ustaz Nazrey Johani anjuran Biro HALUAN Fitrah Cawangan Negeri Sembilan di Majlis Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, di sini, semalam.

Majlis berbuka puasa itu diadakan bagi mengutip dana melalui jualan meja berbuka puasa dan sebahagian daripada kutipan berkenaan berjumlah RM30,000 disumbangkan kepada Al Tahfiz Bayu Syahadah.

Menjelaskan perjalanan kariernya, beliau mengakui kini sibuk dengan kegiatan dakwah di Sabah, namun tidak pernah lari daripada bidang nyanyian nasyid dan masih aktif menerima jemputan persembahan bagi mengumpul dana baik pulih pusat tahfiz berkenaan.

Ditanya sama ada akan kembali bersama Raihan atau sekurang-kurangnya bekerjasama dengan kumpulan nasyid itu, Nazrey menjelaskan dia tiada masalah untuk bergandingan dengan Raihan asalkan ia memberi manfaat kepada masyarakat.

"Demi kebaikan dakwah, saya pada pada bila-bila masa boleh bekerjasama dengan Raihan. Belum ada rezeki setakat ini walaupun banyak permintaan daripada pelbagai pihak, cuma masih tiada rezeki.

Sementara itu, Yang Dipertua HALUAN, Ir Jailani Yusof berkata, pihaknya berjaya mengutip dana berjumlah lebih RM52,000 menerusi program berbuka puasa berkenaan dan menyumbangkan RM30,000 kepada Al Tahfiz Bayu Syahadah.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Al Tahfiz Bayu Syahadah Resource 8600627302 atau akaun CIMB HALUAN 8601110709.

Berita Harian X