X
Sabtu, 23 April 2022 | 6:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Inflasi Malaysia terkawal - MOF

KUALA LUMPUR: Aktiviti dalam pasaran mata wang ringgit kekal teguh dan berdaya saing walaupun dunia berdepan dengan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan global.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, inflasi Malaysia terkawal dengan kadar inflasi tahun ini dijangka antara 2.2 hingga 3.2 peratus, lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN yang mana jangkaan itu sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kadar inflasi tahun lalu ialah 1.5 peratus.

MOF berkata, nilai ringgit yang fleksibel akan terus memanfaatkan ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelarasan sektor luaran yang bersesuaian dan melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global yang memberikan kesan negatif.

"Setakat ini, purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah AS$12.6 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021, dengan purata turun naik 3.9 peratus manakala purata pada 2021 ialah 4.6 peratus.

"Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh termasuk lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih meningkatkan keupayaan negara dengan ketara untuk bertahan daripada ketidaktentuan dan kejutan luaran terbabit.

"Asas Malaysia kekal teguh seperti yang ditunjukkan pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi serta trajektori inflasi rendah berbanding negara di rantau ini.

"Semua ini dijangka dapat terus menampan penurunan ringgit," katanya.

Dari segi inflasi, katanya, IMF menjangkakan peningkatan 5.7 peratus dalam ekonomi maju dan 8.7 peratus dalam negara yang berkembang pesat dan negara membangun.

Katanya, unjuran itu adalah 1.8 dan 2.8 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran Januari.

"Bagi Malaysia, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh kerajaan serta subsidi yang diperuntukkan untuk petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi.

"Kadar inflasi tahun ini dijangka antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus di mana ia turut disokong pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengenai kadar inflasi bagi Mac kekal pada kadar yang sama dengan Februari iaitu 2.2 peratus," katanya.

MOF dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara, termasuk ketegangan geopolitik baru-baru ini dan bagaimana ia akan menjejaskan rantaian bekalan global yang mungkin memberi tekanan inflasi lebih tinggi serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran kewangan di Malaysia.

"BNM akan terus mengukuhkan kelancaran operasi pasaran pertukaran asing tempatan dengan sentiasa memastikan kecairan mencukupi serta memastikan perniagaan boleh merancang dan menjalankan aktiviti perdagangan serta transaksi pelaburan dengan lebih yakin," katanya.

MOF berkata, Malaysia mempunyai ekonomi terbuka dengan kadar pertukaran mata wang yang ditentukan pasaran, pergerakan turun naik nilai ringgit dipengaruhi oleh kedua-dua faktor global dan domestik.

Katanya, antara faktor itu adalah perubahan dalam sentimen pelabur, landasan pemulihan pandemik dan dasar normalisasi dalam kalangan negara ekonomi maju.

"Penyusutan nilai ringgit secara umumnya turut mengikuti jejak penyusutan mata wang utama dan serantau, namun aktiviti dalam pasaran mata wang ringgit kekal teguh," katanya.

Berita Harian X