Sabtu, 23 April 2022 | 4:47pm
Anggota Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan etnik Rohingya yang masih bebas. NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR
Anggota Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan etnik Rohingya yang masih bebas. NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR

Polis giat kesan baki 80 etnik Rohingya larikan diri

ALOR SETAR: Polis terus mempergiatkan operasi mencari dan mengesan baki 80 tahanan pelarian etnik Rohingya yang merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Rabu lalu.

Dalam Op Kesan semalam, polis berjaya menahan semula lapan lagi tahanan di sekitar lokasi dan daerah berdekatan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata semua jumlah tahanan yang belum ditemui membabitkan 65 lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, operasi masih diteruskan di lokasi tertentu dalam usaha mengesan baki tahanan yang masih belum ditemui setakat ini.

"Jumlah keseluruhan tahanan yang sudah ditemui setakat ini seramai 448 orang iaitu 229 lelaki, 89 wanita, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.

"Selain itu, jumlah tahanan terkini yang masih dalam depot seramai 15 orang membabitkan 13 lelaki dan masing-masing satu wanita dewasa dan kanak-kanak," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Berita Harian X