Sabtu, 23 April 2022 | 4:07pm

Kabinet tubuh jawatankuasa khas tangani isu penderaan

SEREMBAN: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kumpulan Rentan bagi menangani pelbagai isu membabitkan penderaan terhadap kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), wanita serta pelajar tahfiz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet yang bermesyuarat Rabu lalu, bersetuju bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya, Kabinet berpandangan banyak isu yang perlu ditangani membabitkan kumpulan rentan termasuk wanita dan juga warga emas dan perlu ditangani dengan segera supaya mereka diberikan perlindungan yang sebaik-baiknya.

"Selain daripada isu penderaan, banyak isu lain yang kita tidak pernah terfikir, sebagai contoh di pusat jagaan terdapat kalangan ibu bapa yang meninggalkan anak (bayi) tanpa dokumen diri seperti sijil kelahiran dan sebagainya. Ini boleh menjejaskan masa depan anak-anak ini kerana tidak boleh bersekolah dan sebagainya.

"Jadi jawatankuasa ini akan melihat secara keseluruhan, bukan saja dari segi kaedah penjagaan, penderaan, kebajikan masa depan, sijil kelahiran dan pengenalan diri, begitu juga dari segi akta-akta yang dilihat banyak sudah lapuk dan perlu dipinda supaya pembelaan dapat dibuat terhadap kumpulan rentan ini," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa penderaaan Bella di sebuah pusat perlindungan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, antara ahli dalam jawatankuasa berkenaan terdiri daripada Menteri KPWKM, Menteri Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Undang-Undang dan beberapa pihak lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) beramah bermesra dengan kakitangan di sebuah institusi kebajikan di Seremban. - NSTP/Azrul Edham
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) beramah bermesra dengan kakitangan di sebuah institusi kebajikan di Seremban. - NSTP/Azrul Edham

"Kita hendak semua pusat jagaan ini mesti dilesenkan, jika tidak dilesenkan susah untuk memantaunya dan kadangkala agak sukar untuk mendapatkan kelulusan. Terlalu banyak birokasi yang akhirnya menyusahkan permohonan pendaftaran membabitkan lesen dan tempat.

"Saya sendiri mengalami perkara ini apabila pendaftaran sebuah rumah anak yatim piatu disebabkan tanah pertanian lesen tidak dibenarkan.

"Soal tanah yang dipentingkan sedangkan yang lebih penting adalah penjagaan," katanya yang memaklumkan jawatankuasa itu akan bermesyuarat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ketika ini terdapat 1,898 pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM membabitkan 1,255 pusat jagaan kanak-kanak, pusat jagaan OKU (202), pusat jagaan warga emas (393) dan 10 pusat jagaan wanita serta pelbagai (48).

Beliau berkata, kerajaan turut mengesan terdapat 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa kelulusan dan tidak didaftarkan.

"Ini yang dapat dikesan, mungkin banyak lagi yang tidak dapat dikesan dan ia menyebabkan peraturan, undang-undang dan sebagainya tidak boleh dikenakan dan mereka tidak mengikut peraturan kerana beroperasi secara haram," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan pusat jagaan untuk membantu kumpulan rentan tetapi kerajaan boleh membantu pusat-pusat seperti ini dan mereka perlu berdaftar.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan melihat institusi agama, pusat tahfiz yang tidak berdaftar supaya boleh didaftarkan.

"Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri mungkin untuk kita bantu. Difahamkan lebih 1,000 pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama di peringkat pusat dan negeri.

"Kita tidak mahu isu penderaan dan penjagaan kanak-kanak ini akan terus berlaku. Kita tak nak buat tindakan secara 'had hoc' dan kita hendak isu ini diselesaikan secara tuntas, menyeluruh supaya tiada lagi perkara berkaitan ditimbulkan," katanya.

Perdana Menteri mendukung seorang bayi yang ditempatkan di pusat perlindungan milik JKM sambil diperhatikan anaknya, Datin Nina Sabrina.
Perdana Menteri mendukung seorang bayi yang ditempatkan di pusat perlindungan milik JKM sambil diperhatikan anaknya, Datin Nina Sabrina.
Berita Harian X