Jumaat, 22 April 2022 | 3:30pm
Beberapa wanita dan kanak-kanak Rohingya kelihatan memegang tabung derma dan menunggu di pintu pagar sebuah masjid di Bayan Baru untuk meminta sumbangan orang ramai di sini, hari ini. STR/AMINAH YUSOF
Beberapa wanita dan kanak-kanak Rohingya kelihatan memegang tabung derma dan menunggu di pintu pagar sebuah masjid di Bayan Baru untuk meminta sumbangan orang ramai di sini, hari ini. STR/AMINAH YUSOF

Pelarian Rohingya jadikan masjid lubuk rezeki

GEORGETOWN: Segelintir pelarian Rohingya di negeri ini dikesan menjadikan masjid sebagai tempat mencari rezeki dan sanggup menunggu berjam-jam lamanya di tengah panas terik untuk meraih simpati jemaah, terutama pada hari Jumaat.

Tinjauan di dua masjid di sekitar Bukit Jambul dan Bayan Baru di sini mendapati mereka yang terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak bersedia di pintu pagar masjid seawal jam 12 tengah hari.

Seorang peminta sedekah, Nasima Nur Amir, 51, berkata dia sanggup datang dari Bagan Ajam Butterworth dengan menaiki bas bersama dua lagi rakan menuju ke sebuah masjid di Bukit Jambul di sini dan hanya akan pulang selepas waktu berbuka puasa.

"Saya keluar rumah kira-kira jam 10 pagi dan datang ke masjid ini pada hari Jumaat sahaja. Kalau nak bagi bantuan apa-apa barang pun saya ambil. Terima kasih.

"Saya sudah tinggal di Malaysia dekat 10 tahun. Suami sudah tiada sejak tiga tahun lalu. Duduk Myanmar susah. Duduk sini senang. Kerja ada boleh buat. Ramai tolong," katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Katanya, dua anaknya yang berusia 10 dan 11 tahun dilahirkan di negara ini dan bersekolah di Pusat Pendidikan Rohignya Pulau Pinang yang terletak di Permatang Pauh.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu berkata, dia tinggal di sebuah rumah kampung bersama beberapa keluarga lain dengan kadar sewa RM300 bulan.

Percubaan BH menemu bual beberapa peminta sedekah etnik Rohingya lain bagaimanapun gagal kerana kebanyakan mereka hanya menggeleng kepala atau sekadar menjawab tidak tahu dan tidak faham apabila disoal.

Berita Harian X