X
Jumaat, 22 April 2022 | 12:40pm
Polis masih giat mencari 96 lagi tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Pulau Pinang. - Foto fail Bernama
Polis masih giat mencari 96 lagi tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau Pulau Pinang. - Foto fail Bernama

Tahanan lari diminta serah diri

ALOR SETAR: Tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang diminta untuk menyerah diri di balai polis terdekat.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Yusof Ali, berkata etnik Rohingya yang berada di sekitar negeri ini juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya tidak melindungi tahanan yang lari ke rumah mereka.

"Tahanan yang lari saya minta mereka serah diri demi keselamatan diri manakala bagi etnik Rohingya yang tinggal di luar sana, jangan simpan tahanan yang lari.

"Jika kita lindungi tahanan yang lari, kita akan berdepan dengan masalah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, lebih baik serahkan mereka kepada pihak berkuasa atau balai polis terdekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga jam 6 pagi ini, media melaporkan seramai 96 tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap kelmarin masih belum dijumpai.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata ketika ini pelbagai tindakan giat diambil bagi mengesan kedudukan mereka.

Katanya, hampir 80 peratus tahanan yang belum diitemukan itu adalah individu lelaki dewasa.

Yusof berkata, setiap etnik Rohingya yang berada di dalam negara ini perlu menghormati undang-undang di Malaysia.

Katanya, dia sangat berharap kejadian ini tidak akan berulang dan satu penyelesaian terbaik dapat dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap isu etnik Rohingya.

"Saya difahamkan yang lari dari tahanan ini bukan saja etnik Rohingya, ada juga pendatang asing tanpa izin (PATI) negara lain.

"Bagaimanapun, kejadian ini perlu dijadikan iktibar pada masa depan supaya tiada lagi etnik Rohingya mengambil jalan singkat mudah mengikut arahan rakan lain tanpa hala tuju ," katanya.

Berita Harian X