Jumaat, 22 April 2022 | 10:27am
Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya dalam hutan di sekitar Nibong Tebal selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, kelmarin. - Foto BERNAMA
Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya dalam hutan di sekitar Nibong Tebal selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, kelmarin. - Foto BERNAMA

Polis buru baki 96 tahanan masih bebas - KP Kedah

ALOR SETAR: Polis semalam menahan 34 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, kelmarin dan kini gerakan memburu 96 lagi yang masih bebas diperhebatkan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata setakat ini jumlah keseluruhan tahanan yang ditahan seramai 432 orang terdiri 218 lelaki, 88 wanita, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.

"Baki 96 tahanan yang masih diburu ini membabitkan 76 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

"Jumlah tahanan dalam depot terkini adalah 23 orang iaitu 19 lelaki dewasa dan empat kanak-kanak lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hassan berkata, operasi masih dipergiatkan di lokasi tertentu dalam usaha mengesan saki baki tahanan yang masih belum ditemui.

Dalam kejadian kelmarin, seramai 528 warga asing terdiri etnik Rohingya yang juga tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, melarikan diri kira-kira jam 4 pagi.

Daripada 528 orang yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 tahanan itu, enam maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan berhampiran Jawi.

Susulan itu, polis melancarkan usaha mengesan semula tahanan melalui Op Kesan, Op Cantas dan Op Tutup di Kulim dan Bandar Baharu, Kedah serta di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Berita Harian X