Khamis, 21 April 2022 | 10:27pm
Kenderaan Jabatan Imigresen membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya meninggalkan Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot lain. - Foto BERNAMA
Kenderaan Jabatan Imigresen membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya meninggalkan Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot lain. - Foto BERNAMA

Rohingya ditahan 2 tahun kerana Malaysia tegas

PUTRAJAYA: Penguat kuasa menahan masyarakat Rohingya selama dua tahun sebagai isyarat Malaysia tidak berkompromi terhadap kumpulan yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata semua yang ditahan itu tertakluk kepada undang-undang negara ini.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak boleh menghantar mereka pulang ke Myanmar kerana kerajaan negara itu tidak mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai warganegara.

Dua orang etnik Rohingya antara yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap. - Foto BERNAMA
Dua orang etnik Rohingya antara yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap. - Foto BERNAMA

Katanya, tindakan menahan mana-mana individu yang memasuki negara ini tanpa dokumen bukan hanya diambil terhadap pelarian Rohingya, malah kepada rakyat negara lain yang cuba berbuat demikian.

"Kita nak memaklumkan kepada mereka yang teringin nak datang ke sini, walaupun atas sifat kemanusiaan, kita menjaga mereka tapi bukan bermakna kita mahu mereka berada di sini.

"Jika kita nak hantar balik, kita nak hantar balik mana? Ini yang menjadi masalah kepada kita," katanya di sini, hari ini.

Hamzah berkata, jika individu yang memasuki negara ini dilepaskan selepas hanya ditahan pada tempoh singkat, ia akan memberi persepsi sesiapa saja boleh datang ke negara ini secara haram tanpa dikenakan tindakan tegas.

Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal. - Foto BERNAMA
Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal. - Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya masih mengesan seramai 104 lagi tahanan masyarakat Rohingya yang melarikan diri kira-kira jam 4 pagi semalam.

Awal pagi semalam, seramai 528 tahanan masyarakat Rohingya di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, selepas berlaku rusuhan.

Setakat malam ini seramai 424 tahanan sudah ditangkap semula dan ditempatkan di beberapa pusat tahanan sementara Jabatan Imigresen.

Berita Harian X