Khamis, 21 April 2022 | 5:32pm
Projek pembangunan RMK-12 mesti dipercepat untuk manfaat orang ramai. - Foto NSTP
Projek pembangunan RMK-12 mesti dipercepat untuk manfaat orang ramai. - Foto NSTP

Percepat projek RMK-12

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Asas Tahun 2022 pada kadar 18.33 peratus, setakat 15 April lalu.

Perdana Menteri berkata, perkembangan berkenaan dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kali pertama bagi tahun 2022.

Mesyuarat dipengerusikan beliau itu turut dihadiri empat Menteri Kanan, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Fadullah Yusof dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin serta ketua jabatan dan agensi berkaitan secara dalam talian.

Rentetan itu, katanya, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara diwujudkan bagi menangani cabaran utama dalam pengagihan peruntukan pembangunan.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya ketua setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan peruntukan pembangunan kepada menteri masing-masing, setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepat pelaksanaan projek.

"Selaras dengan RMK-12, kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2025. Mesyuarat pada hari ini meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran itu.

"Petunjuk ini merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Antaranya, termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah; peningkatan daya saing dan produktiviti.

"Peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi; pembasmian kemiskinan tegar; pembangunan negeri seimbang dan kemampanan dan daya tahan alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat sama turut membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang 2025 dengan Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula bulan ini membabitkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung 2025.

"Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan ketua isi rumah miskin tegar secara mampan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir bernilai RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun (2023 hingga 2030).

"Kaedah pembiayaan projek ini sedang diperinci Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek atau sederhana dan panjang," katanya.

Agensi berkaitan merancang tebatan banjir bermula 2023. - Foto hiasan NSTP
Agensi berkaitan merancang tebatan banjir bermula 2023. - Foto hiasan NSTP

Berita Harian X