Khamis, 21 April 2022 | 1:55pm
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) beramah-mesra bersama Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada majlis penyerahan Buku Ulasan Tahun 2020 LPPR SPRM di Bangunan Parlimen. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) beramah-mesra bersama Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada majlis penyerahan Buku Ulasan Tahun 2020 LPPR SPRM di Bangunan Parlimen. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

LPPR saran 7 langkah tambah baik fungsi SPRM

KUALA LUMPUR: Mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam adalah antara tujuh cadangan penambahbaikan bagi perjalanan dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tujuh cadangan itu dikemukakan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) selepas meneliti Laporan Tahunan SPRM bagi perhatian Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata penggubalan undang-undang itu perlu dipercepatkan kerana kes salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian dana kerajaan amat dipandang serius.

Beliau berkata, LPPR menyokong keperluan pindaan Akta 694 dengan mewujudkan peruntukan baharu berhubung salah laku pegawai badan awam (MIPO) dengan mengambil kira beberapa elemen seperti ketirisan dan kehilangan.

Selain itu, katanya, LPPR mencadangkan undang-undang berkaitan 'Beneficial Ownership' yang memerlukan sesuatu organisasi komersial atau mana-mana individu membuat pengisytiharan berhubung pemunya benefisial dipercepatkan.

"Peruntukan baharu ini membolehkan SPRM menyiasat pemunya benefisial berhubung sesuatu kepentingan dalam perolehan kerajaan.

"Ini merangkumi kesalahan organisasi komersial atau individu dalam perolehan dan penjualan tender atau projek kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakan projek atau tender," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Buku Ulasan Tahun 2020 LPPR di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ahli Lembaga LPPR, Tan Sri Ismail Omar.

Abu Zahar berkata, LPPR mencadangkan undang-undang berkaitan dana politik digubal berikutan ketiadaan peruntukan khusus berhubung perkara itu akan mendedahkan parti politik kepada risiko rasuah.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang khusus itu bagi mengawal selia aktiviti sumbangan politik dalam memastikan aktivitinya bersih daripada elemen rasuah, konflik kepentingan dan eksploitasi dana hasil aktiviti haram.

"Ketiadaan undang-undang khusus berhubung dana politik mendedahkan parti kepada risiko rasuah sama ada dalam konteks percaturan Majlis Tertinggi Parti, isu lompat parti dan campur tangan ahli politik dalam keputusan dasar di peringkat kementerian atau berkaitan perolehan kerajaan.

"Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) wajar diwajibkan ke atas sektor swasta supaya inisiatif memerangi rasuah melalui kawalan dalaman organisasi dapat dilakukan secara lebih komprehensif membabitkan semua lapisan masyarakat," katanya.

Abu Zahar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antirasuah di bawah Parlimen dengan LPPR dan JKMR bersetuju memperhalusi cadangan berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi meletakkan hal ehwal antirasuah di bawah Parlimen, termasuk berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, peruntukan kewangan dan sebagainya.

Selain itu, katanya, LPPR mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia dipercepatkan, supaya ia diberi kuasa dalam pengurusan perkhidmatan dan pembangunan sumber manusia.

"Ia bagi memastikan pegawai dan kakitangan SPRM yang dilantik mempunyai kemahiran, kompeten, berfikiran aras tinggi dan cekap. Langkah ini memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"LPPR juga mencadangkan JKMR membuat hebahan umum selepas Laporan Tahunan JKMR yang mengandungi Ulasan Laporan Tahunan SPRM dan cadangan penambahbaikan dibentang kepada Perdana Menteri di Parlimen," katanya.

Berita Harian X