Khamis, 21 April 2022 | 12:34pm
Foto ihsan Facebook Istana Negara
Foto ihsan Facebook Istana Negara

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah atas pemergian Ali Hamsa

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua menzahirkan perasaan sedih, sekali gus berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

"Seri Paduka baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut catatan dalam Facebook Istana Negara, hari ini.

Menerusi catatan itu, Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada perkhidmatan awam dan negara, selain menyifatkan pemergian Ali sebagai satu kehilangan besar buat perkhidmatan awam serta negara.

Pemergian Ali di Hospital Dublin, Ireland, pagi tadi, disahkan isterinya, Puan Sri Rohani Abdullah, melalui satu kenyataan yang turut memaklumkan urusan pengebumian akan dilakukan di Putrajaya.

Sepanjang kariernya, Ali telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sejak memulakan khidmatnya di Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

Allahyarham pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pengangkutan; Unit Perancang Ekonomi; serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); selain berpengalaman menyandang jawatan sebagai Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA), dan Pengerusi Institut Integriti Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X