Khamis, 21 April 2022 | 12:21pm
Anggota polis membuat sekatan jalan di kawasan Nibong Tebal berikutan kejadian tahanan warga asing melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. Gambar fail BERNAMA
Anggota polis membuat sekatan jalan di kawasan Nibong Tebal berikutan kejadian tahanan warga asing melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. Gambar fail BERNAMA

Jangan cederakan tahanan yang lari

ALOR SETAR: Orang ramai yang menjumpai tahanan etnik Rohingya yang lari dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang, diminta tidak memukul atau mencederakan mereka, sebaliknya menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Yusof Ali, berkata pihaknya yakin tahanan yang melarikan diri daripada depot itu hanya mengikut rakan-rakan tanpa mempunyai hala tuju.

Dakwanya, berkemungkinan terdapat orang lama yang menjadi dalang utama merancang kejadian dan mengetahui selok-belok keadaan di negara ini.

"Saya rasa malu dengan tindakan tahanan melarikan diri dari depot. Saya harap rakyat Malaysia tidak mencederakan tahanan yang mereka jumpa di luar sana.

"Mereka hanya mengikut rakan-rakan dan tak tahu apa-apa. Kebanyakan mereka tidak pernah belajar dan jahil mengenai undang-undang di negara ini.

"Sesiapa sahaja etnik Rohingya yang melanggar undang-undang di negara ini perlu dihukum, cuma ramai tahanan etnik kami tidak memahami undang-undang dan budaya di sini.

"Saya selalu nasihatkan etnik kami supaya hormat dengan orang tempatan yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya kepada BH, hari ini.

Yusof dalam pada itu merayu agar satu perbincangan dapat diadakan membabitkan komuniti Rohingya bersama kerajaan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Katanya, perbincangan itu penting bagi mengatasi isu etnik Rohingya di negara ini.

"Sekiranya mahu hantar mereka pulang atau ke negara lain, tahanan ini perlu dimaklumkan dan biar mereka faham. Namun, saya mencadangkan agar mereka dapat bekerja di sektor tertentu di negara ini melalui kerajaan.

"Ia bagi memastikan semua etnik ini dapat dikenal pasti dan mempunyai dokumen atau kad UNHCR. Kerajaan boleh menyimpan data mengenai kami bagi memudahkan tindakan diambil apabila berlaku kemalangan atau pelanggaran undang-undang," katanya.

Yusof berkata etnik Rohingya kini seperti menjadi bola sepak dan kebanyakan ditahan atau dipenjara termasuk di India, Myanmar, Bangladesh dan Thailand sedangkan mereka mempunyai kad UNHCR.

Katanya, etnik Rohingya dibunuh dan dibakar secara beramai-ramai termasuk golongan wanita dirogol manakala tempat tinggal mereka kini didakwa dibina kilang oleh syarikat dari China.

"Saya mohon negara-negara Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu untuk menyelamatkan etnik kami. Kami akan lebih bersemangat untuk melawan sekiranya mendapat sokongan daripada 57 negara Islam di bawah OIC," katanya.

Berita Harian X