Khamis, 21 April 2022 | 10:17am
BEBERAPA buah lori Jabatan Imigresen Malaysia yang membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya dilihat meninggalkan Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot tahanan lain. Foto BERNAMA
BEBERAPA buah lori Jabatan Imigresen Malaysia yang membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya dilihat meninggalkan Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot tahanan lain. Foto BERNAMA

130 tahanan masih bolos, polis pergiat operasi buru

ALOR SETAR: Polis giat memburu baki 130 tahanan etnik Rohingya yang masih bebas, selepas berjaya mengesan semula 398 lagi yang bersama melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, semalam.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata usaha menjejaki tahanan masih bolos itu diteruskan, hari ini, dengan tambahan bantuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) dan operasi mengesan tahanan itu turut diperluas membabitkan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah, Pulau Pinang dan Perak, bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Tahanan yang masih lolos dikenal pasti membabitkan 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa dan masing-masing lima kanak-kanak perempuan serta lelaki.

"Semalam, seramai 171 tahanan masih diburu sebelum 41 daripadanya berjaya dikesan semula. Kini, cuma tinggal 130 tahanan masih bebas.

"Ini membawa kepada jumlah 398 daripada keseluruhan 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri, sudah ditemui semula membabitkan 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki dan 60 kanak-kanak perempuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, pihaknya juga meneruskan Op Tutup membabitkan SJR di empat lokasi sekitar Seberang Perai Selatan, empat SJR di Bandar Baharu dan lima SJR di Kulim.

"Selain itu, pasukan khas ditubuhkan Polis Kedah yang dianggotai 13 pegawai dan anggota sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang.

Bagaimanapun, enam tahanan terbabit maut akibat dirempuh kenderaan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala selatan, berhampiran Jawi.

Berita Harian X