Rabu, 20 April 2022 | 10:37am

6 PATI larikan diri maut dalam kemalangan

NIBONG TEBAL: Enam daripada 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi di sini pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dalam kejadian 6.50 pagi, tahanan yang meninggal dunia terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan serta dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

"Sebaik berlaku kemalangan sehingga menyebabkan enam warga asing maut, sekumpulan 229 warga asing yang melarikan diri ke lebuh raya itu mengambil keputusan untuk tidak melintas lebuh raya tersebut kerana bimbang turut terbabit kemalangan.

"Mereka menyusuri tepi jalan (lebuh raya) itu. Mereka sendiri tidak tahu ke mana destinasi yang mahu dituju sebaik melarikan diri dari depot berkenaan," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata orang ramai yang menyedari kejadian itu telah menghubungi polis dan polis menahan semua warga asing itu yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas.

Terdahulu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang juga tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau yang terletak di Jalan Besar Relau dekat sini melarikan diri dari depot itu awal pagi tadi.

Sebahagian PATI yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau, Kedah, ditahan semula pihak polis pagi tadi. - Foto pembaca
Sebahagian PATI yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau, Kedah, ditahan semula pihak polis pagi tadi. - Foto pembaca

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.30 pagi dan terus melancarkan operasi mengesan semua mereka yang meloloskan diri.

"Seramai 664 etnik Rohingya ditempatkan di situ dengan 528 daripadanya melarikan diri pagi tadi, ...kami berjaya tahan 229 warga asing di kawasan lebuh raya dan terdahulu seramai 88 orang yang melarikan diri itu telah berjaya ditahan oleh penduduk kampung dan Jabatan Imigresen di kawasan tidak jauh dari depot tersebut," katanya.

Beliau berkata ketika ini polis Pulau Pinang melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan 205 tahanan lagi yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas dipercayai masuk ke negeri itu (Pulau Pinang) dari pusat tahanan (yang terletak di Jalan Besar Relau di Bandar Baharu di Kedah) untuk melarikan diri.

Menurutnya, pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya di susur-susur keluar dan masuk lebuh raya di negeri itu bagi mengesan saki-baki warga asing yang melarikan diri.

"Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama sekumpulan anak muda yang membantu menyalurkan maklumat tentang keberadaan kumpulan warga asing yang melarikan diri itu ketika di lebuh raya.

"Dari segi siasatan, ia akan dijalankan oleh Polis Kontinjen Kedah dan Ketua Polis Kedah akan memberikan laporan terperinci serta maklumat terkini mengenai perkembangan kes ini," katanya.

Mohd Shuhaily turut meminta kerjasama daripada orang ramai agar membantu menyalurkan kepada pihak polis jika mempunyai maklumat atau melihat kehadiran warga asing tersebut di kawasan mereka.

Antara PATI yang maut dirempuh kenderaan ketika melintas Lebuhraya PLUS awal pagi tadi. - Tangkap layar video tular
Antara PATI yang maut dirempuh kenderaan ketika melintas Lebuhraya PLUS awal pagi tadi. - Tangkap layar video tular
Berita Harian X