Selasa, 19 April 2022 | 2:09pm
Ketua Biro Gerakan Sosial MCA Pulau Pinang, Cheah Chin Woon pada sidang media di Wisma MCA negeri, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Biro Gerakan Sosial MCA Pulau Pinang, Cheah Chin Woon pada sidang media di Wisma MCA negeri, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG

Penjelasan aktivis MCA punca terjun longkang

GEORGETOWN: Seorang aktivis MCA yang terjun ke dalam longkang kotor di sini, Khamis lalu, menafikan tindakannya bermotifkan politik.

Cheah Chin Woon berkata, ia sebaliknya dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Ahli perniagaan itu kecewa kerana berikutan tindakannya, beliau menerima pelbagai kecaman termasuk ada segelintir pihak yang mendakwa beliau sengaja meraih publisiti murahan.

"Saya amat kecewa kerana tuduhan yang dilemparkan menjatuhkan reputasi saya sebagai ahli perniagaan. Ada yang kata tindakan saya semata-mata untuk meraih simpati politik.

"Ia bukan pertunjukan atau lawak politik tetapi saya mahu orang ramai fokus kepada kepentingan menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah merata-rata," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Chin Woon berkata, beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam soal mengetengahkan isu alam sekitar malah turut kerap menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan parti DAP negeri.

Katanya, selepas berendam selama kira-kira 30 minit untuk membersihkan sampah sarap di dalam longkang yang menghala ke Sungai Pinang itu tubuhnya mengalami gatal-gatal dengan kesan kemerahan pada kedua-dua lengan masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Beliau berkata, ia membuktikan longkang itu amat kotor dan sudah tiba masa kerajaan bertindak lebih tegas termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan yang suka membuang sampah sesuka hati.

"Justeru, saya turut berikrar akan membersihkan sungai yang dikotori sampah sarap pada setiap kali ulang tahun kelahiran saya pada 27 Mei untuk seumur hidup saya," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang memberi maklum balas berhubung tindakan Chin Woon menjelaskan pencemaran Sungai Pinang adalah masalah yang berpunca daripada sikap manusia yang gemar membuang sampah terus ke dalam sungai.

"Jika anda melihat kerja kami di bahagian perangkap (sampah), secara purata pihak kami mengumpul satu tan sampah setiap hari. Tidak perlu terjun longkang. Jom sertai gotong-royong kami. Itu akan membantu," katanya seperti dilapor akhbar tempatan, baru-baru ini.

Berita Harian X