Isnin, 18 April 2022 | 9:49pm

Sultan Nazrin hadir majlis sambutan Nuzul al-Quran

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2022 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.

Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Yusop Husin serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Majlis sambutan dimulakan dengan tazkirah, bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat, diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah sebelum seterusnya menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Sultan Nazrin tiba selepas itu dan berkenan menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk berjumlah RM8.3 juta kepada penghulu-penghulu daerah di seluruh Perak untuk diagihkan kepada 33,342 asnaf, fakir dan miskin di seluruh negeri ini.

Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk yang baharu kepada Toh Maharaja Indera Dr Khairil Anuar Arshad dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

Sultan Nazrin kemudian menunaikan solat Isya berjemaah dan solat sunat Tarawih sebelum berangkat pulang. - BERNAMA

Sultan Nazrin (tengah) menunaikan solat Isya berjemaah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, malam ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua dari kiri). - BERNAMA
Sultan Nazrin (tengah) menunaikan solat Isya berjemaah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, malam ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua dari kiri). - BERNAMA
Berita Harian X