Isnin, 18 April 2022 | 4:44pm
Sebahagian murid memasuki kelas memulakan sesi PdP bersemuka tanpa penggiliran bermula hari ini di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi - Foto NSTP/ /Aizuddin Saad
Sebahagian murid memasuki kelas memulakan sesi PdP bersemuka tanpa penggiliran bermula hari ini di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi - Foto NSTP/ /Aizuddin Saad

Lebih 400,000 murid mulakan sesi PdP bersemuka

KUALA LUMPUR: Seramai 415,872 murid Tahun Tiga, Empat dan Lima di sekolah rendah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, hari ini.

Mereka adalah pelajar sekolah di negeri Kumpulan B di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Negeri kumpulan A sudah memulakan persekolahan semalam membabitkan 130,177 pelajar di negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Kementerian Pendidikan berkata, seramai 546,049 pelajar sekolah rendah Tahun Tiga, Empat dan Lima terbabit dalam sesi persekolahan bersemuka yang bermula semalam.

Sistem penggiliran persekolahan bagi sesi penggal pertama persekolahan tahun ini dilaksanakan mulai 21 Mac lalu hanya membabitkan Tahun Tiga, Empat dan Lima.

Murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Enam mengikut PdP bersemuka tanpa penggiliran pada 21 Mac.

Bagi sekolah menengah, PdP dilaksanakan bersemuka pada 4 April membabitkan 2,060,997 pelajar.

Secara keseluruhan jumlah pelajar di seluruh negara ialah 5,074,927 iaitu sekolah rendah seramai 2,966,893 dan menengah 2,108,034.

PdP bersemuka dilaksanakan semula berikutan negara kini memasuki fasa transisi endemik.

Berita Harian X