Isnin, 18 April 2022 | 3:12pm
Yoong Wei Ming,16 dari Bukit Merah, Perak, dikesan mengalami skoliosis atau kelengkungan pada tulang belakang berbentuk S dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi pemasangan tiga dimensi (3D) peranti tulang belakang atau Thoracic Lumbar Sacral Orthosis yang bernilai RM5,500.
Yoong Wei Ming,16 dari Bukit Merah, Perak, dikesan mengalami skoliosis atau kelengkungan pada tulang belakang berbentuk S dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi pemasangan tiga dimensi (3D) peranti tulang belakang atau Thoracic Lumbar Sacral Orthosis yang bernilai RM5,500.

Remaja tulang belakang S rayu sumbangan orang ramai

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 16 tahun yang mengalami skoliosis atau kelengkungan tulang belakang berbentuk S memerlukan sumbangan orang ramai bagi pemasangan tiga dimensi (3D) peranti tulang belakang atau 'Thoracic Lumbar Sacral Orthosis' bernilai RM5,500.

Yoong Wei Ming, dari Bukit Merah, Perak, dikesan mengalami masalah tulang belakang dalam satu pemeriksaan kesihatan dibuat di sekolah ketika berusia 12 tahun.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang komplikasi seperti sakit belakang yang serius tetapi mudah penat jika membuat sebarang aktiviti berat.

"Saya aktif bersukan sejak sekolah rendah dengan bermain badminton, Namun ada ketika, saya berasa cepat penat.

"Apabila doktor menyerahkan surat rujukan ke hospital kepada ibu, barulah saya tahu mengenai masalah yang dihadapi namun ia tidak langsung mematahkan semangat untuk terus kekal bermain badminton, cuma perlu berpada," katanya.

Skoliosis adalah satu kondisi perubatan yang mana tulang belakang seseorang itu akan bengkok ke kiri atau ke kanan.

Tulang belakang bukan sahaja bengkok ke tepi malah ia akan berputar pada paksi vertical dan perubahan 3D akan membawa kesan kosmetik negatif serta kemungkinan komplikasi pada kesihatan individu terutama remaja.

Sementara itu, ibunya, Ng Siew Theng, 44, berkata dia hanya mengetahui anaknya mengalami masalah tulang belakang ketika diberi surat rujukan ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh selepas anaknya membuat pemeriksaan kesihatan di sekolah.

Katanya, mereka terpaksa berulang alik dari Bukit Merah ke Ipoh setiap empat bulan bagi memantau keadaan tulang belakang anak tunggalnya itu sehingga kini.

"Saya tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja manakala suami terpaksa merantau untuk bekerja sebagai cef restoran yang kini berada di Negeri Sembilan.

"Sehingga kini, dia sudah memakai peranti 3D ini untuk menyokong tulang belakang namun size badan 53 kilogram (kg) dan tinggi 184 sentimeter (cm) memerlukan Wei Ming untuk menukar alat sokongan baharu bagi memastikan keadaannya tidak bertambah serius," katanya.

Dia berkata, sumbangan orang ramai amat diperlukan kini bagi memastikan anaknya tidak mengalami masalah bengkok serius pada masa hadapan.

"Saya tidak dapat membayangkan masa hadapan Wei Ming jika tidak dibantu dengan alat sokongan ini.

"Dia adalah satu-satunya anak kami dan harapan untuk melihat dia dapat menjalankan aktiviti dengan baik sudah cukup untuk saya sebagai ibunya.

"Ada ketika dia juga mengadu cepat berasa penat walaupun hanya membuat aktiviti ringan. Namun semangat dan kecekalannya ada kala membuat kami lupa dia mengalami masalah tulang belakang. Dia cukup suka bermain badminton sejak kecil lagi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Berita Harian X