Padang Terap: Program Semarak Kasih Ramadan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)-BH mampu menjadi antara medium terbaik dalam usaha kerajaan membantu masyarakat luar bandar yang memerlukan sokongan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program ini berjaya membawa pengurusan kanan KPLB meninjau dan mendekati penduduk luar bandar di FELDA Lubuk Merbau.
Jelasnya, walaupun Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH hanya berlangsung sehari, ia dapat menyelesaikan banyak masalah penduduk.
"Ini adalah kali ketiga saya bersama BH mengadakan program sama di tiga kementerian berbeza. Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa bersama penduduk, tetapi kita juga beri sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan orang miskin di sini.
"Malah kerana program ini, saya dapat meninjau keadaan masjid dan melihat perkara dan masalah masyarakat di FELDA Lubuk Merbau yang kita perlu selesaikan segera demi kesejahteraan penduduk luar bandar," katanya.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, program itu juga berjaya menarik pembabitan struktur kepemimpinan di bawah KPLB, Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan komuniti di FELDA Lubuk Merbau.
"Secara tidak langsung pada program ini, kepemimpinan KPLB dapat mengetahui banyak perkara, selain dapat mengumpul data mengenai keadaan masyarakat di sini.
"Saya juga minta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA sediakan senarai orang kurang upaya (OKU), orang tua yang terlantar... jadi apabila kita dapat kumpul data sebegini, akhirnya kita dapat fikirkan bantuan sesuai untuk mereka," katanya.