Isnin, 18 April 2022 | 8:00am
Sebahagian kanak-kanak yang menyertai kelas fardhu ain di Masjid Al Barakah. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian kanak-kanak yang menyertai kelas fardhu ain di Masjid Al Barakah. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mahdzir (kiri) bersama Ahmad Zaini (kanan) dan Shqarunniza mengaduk bubur lambuk pada program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH di FELDA Lubuk Merbau, Padang Terap, kelmarin. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mahdzir (kiri) bersama Ahmad Zaini (kanan) dan Shqarunniza mengaduk bubur lambuk pada program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH di FELDA Lubuk Merbau, Padang Terap, kelmarin. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH meriah

Padang Terap: Hidangan nasi daging dan bubur lambuk menjadi antara juadah istimewa pada program Semarak Kasih Ramadan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)-BH di FELDA Lubuk Merbau di sini, kelmarin.

Pada program itu, sejumlah 600 bungkusan bubur lambuk yang disediakan secara gotong-royong diedarkan, selain penduduk turut dijemput berbuka puasa bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pekarangan Masjid Al Barakah.

Majlis berbuka terbabit mendapat sambutan meriah apabila dihadiri lebih 300 penduduk FELDA Lubuk Merbau bersama pengurusan kanan KPLB termasuk Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Terdahulu seawal jam 7 pagi lagi, diadakan aktiviti memotong dan menyisir daging lembu yang dilakukan pegawai dan kakitangan KPLB bersama penduduk kampung serta ahli jawatankuasa masjid sebagai persediaan menyediakan hidangan.

Paling istimewa adalah bubur lambuk Masjid Al Barakah atau disebut sebagai 'kanji' dalam kalangan masyarakat utara, yang dianggap antara paling sedap di daerah Padang Terap sehingga menjadi kegemaran orang ramai setiap kali Ramadan.

Keenakan itu terbukti apabila dalam tempoh kira-kira 30 minit sahaja, semua 600 bungkusan bubur lambuk habis diedarkan Mahdzir dan pengurusan kanan KPLB kepada peniaga serta pengunjung Bazar Ramadan FELDA Lubuk Merbau pada sebelah petang.

Turut diadakan adalah program 'Smart Solat' di Masjid Al Barakah membabitkan seramai 50 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang dibimbing guru agama dalam aspek pemantapan ibadah solat dan bacaan surah lazim.

Mengulas mengenai keseluruhan program itu, Pengurus Besar, Sokongan Jualan dan Pemasaran, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata BH berbangga dapat berkolabrasi bersama KPLB dalam menganjurkan program yang diadakan sejak 2009 lagi.

Katanya, selain bertujuan merapatkan hubungan pihak KPLB dan penduduk luar bandar, program ini turut membabitkan aktiviti menyantuni mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

"BH sememangnya berasa teruja dapat meneruskan inisiatif tanggung jawab sosial korporat (CSR) pada skala besar seperti Semarak Kasih Ramadan, selepas program ini terpaksa direhatkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

"Apa yang menarik pada program ini adalah semua aktiviti bermula daripada proses penyediaan bahan, memasak, membungkus dan mengedarkan makanan, semuanya diadakan secara bergotong-royong serta dalam suasana ceria," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Barakah, Shqarunniza Md Tajuddin, berkata pihaknya berterima kasih kepada KPLB dan BH kerana memilih mengadakan program berkenaan di FELDA Lubuk Merbau.

"Penempatan kami ini terletak agak jauh dari bandar dan kami sememangnya gembira apabila program berbuka puasa yang turut meraikan penduduk dapat diadakan di kampung ini.

"Sekurang-kurangnya orang luar dapat mengetahui tentang kampung kami dan dapat melihat semangat penduduk yang masih erat antara satu sama lain," katanya ketika ditemui.

Pada majlis itu juga, seramai 131 keluarga yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan uzur menerima bantuan Aidilfitri dan sumbangan kuih serta duit raya yang disampaikan Mahdzir dan Ahmad Zaini.

Berita Harian X