Ahad, 17 April 2022 | 10:37am

Pengoperasian sekolah tanpa penggiliran berjalan lancar

KOTA BHARU: Pengoperasian sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran bagi kumpulan A membabitkan empat negeri hari ini berjalan lancar dan teratur.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata seramai 130,177 pelajar dan murid yang sebelum ini terbabit dengan sistem penggiliran bagi kumpulan A kembali hadir seperti biasa, manakala kumpulan B yang bermula esok membabitkan 416,000 murid dan pelajar.

Katanya, berdasarkan tinjauan dan maklum balas pihak sekolah hari ini, semuanya berjalan lancar sama ada membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) mahupun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

"Alhamdulillah hari ini adalah tarikh cukup bersejarah buat Kementerian Pendidikan (KPM) apabila pengoperasian sekolah secara bersemuka kembali seperti biasa tanpa sistem penggiliran.

Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan bersemuka dengan guru bermula hari ini ketika tinjauan di SK Seri Ketereh, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Tinjauan dan maklum balas pihak sekolah mendapati, semua pihak sama ada guru, ibu bapa serta pelajar masing-masing memberi kerjasama sebaiknya.

"Sebagaimana yang kita sentiasa tekankan, pembukaan sekolah perlu dilakukan secara progresif iaitu dimulakan secara berperingkat sebelum ianya dibuka seperti biasa secara kekal.

"Untuk mencapai hasrat itu, kita memohon semua pihak sama ada guru, ibu bapa dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pada masa sama kita akan membuat pemantauan," katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media selepas meninjau pengoperasian sekolah tanpa penggiliran di SK Seri Ketereh, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media selepas meninjau pengoperasian sekolah tanpa penggiliran di SK Seri Ketereh, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian ketika meninjau pengoperasian sekolah tanpa penggiliran di SK Seri Ketereh di sini, hari ini.

Radzi berkata, secara keseluruhan, seramai lebih lima juta pelajar dan murid akan kembali ke sekolah seperti biasa sebagaimana sebelum pandemik COVID-19.

Tinjauan di SK Seri Ketereh mendapati murid yang hadir ke sekolah mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka selain perlu mengimbas suhu badan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan di SK Seri Ketereh mendapati murid yang hadir ke sekolah mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka selain perlu mengimbas suhu badan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X