Ahad, 17 April 2022 | 10:32am
Danish Rayyan Mohd Anis, 9, dan adiknya, Zurani Safia, 7, lengkap memakai pelitup muka ketika hadir ke Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman
Danish Rayyan Mohd Anis, 9, dan adiknya, Zurani Safia, 7, lengkap memakai pelitup muka ketika hadir ke Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Pelajar patuh SOP, pakai pelitup muka elak COVID-19

LANGKAWI: "Saya takut virus COVID-19, sebab itu pakai pelitup muka, emak juga pesan kena selalu pakai pelitup muka kerana virus tak nampak," kata Danish Rayyan Mohd Anis, 9.

Danish Rayyan yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Negeri di sini, adalah antara murid sekolah rendah yang memulakan sesi persekolahan tanpa penggiliran mulai hari ini.

Terdahulu, Danish Rayyan tiba seawal 7.15 pagi di pagar sekolah itu bersama adiknya, Zurani Safia, 7, lengkap memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Zurani Safia juga murid Tahun Satu berkata, dia bangun awal kerana teruja untuk berjumpa rakan selepas sesi persekolah dibuka tanpa penggiliran mulai hari ini.

"Ya memang gembira, sebelum ini kami ada jadual giliran, ada rakan yang dah lama tak jumpa sebab giliran kami hadir sekolah tak sama," katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Faizal Hisham Husin, 38, berkata ibu bapa berperanan mengingatkan anak masing-masing kepentingan mematuhi SOP di dalam dan di luar sekolah.

"Anak saya, Muhammad Rayyan Rizki, 10, memang teruja untuk hadir sekolah hari ini kerana dapat jumpa semua rakannya, dan saya mengingatkan dia mengenai SOP.

"Harapan saya agar semua murid jangan lalai, sentiasa menjaga SOP ketika dalam kelas dan di kantin kerana virus COVID-19 ada di sekeliling," katanya.

Tinjauan mendapati, murid hadir ke sekolah itu seawal jam 6.30 pagi dihantar ibu bapa serta penjaga masing-masing yang lengkap memakai pelitup muka.

Pada 8 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan tanpa penggiliran bagi murid sekolah rendah untuk negeri kumpulan A bermula hari ini.

Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan bersemuka dengan guru bermula hari ini ketika tinjauan di SK Seri Ketereh, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan bersemuka dengan guru bermula hari ini ketika tinjauan di SK Seri Ketereh, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan bersemuka dengan guru bermula hari ini ketika tinjauan di SK Seri Ketereh, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan bersemuka dengan guru bermula hari ini ketika tinjauan di SK Seri Ketereh, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Manakala, bagi negeri kumpulan B bermula esok.

Negeri kumpulan A adalah sekolah-sekolah di negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri kumpulan B adalah sekolah-sekolah di negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Berita Harian X