X
Ahad, 17 April 2022 | 10:03am

Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 diumum bulan ini

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 bulan ini.

Garis panduan berkenaan termasuk aktiviti kokurikulum dibenarkan antara sekolah berbanding sebelum ini hanya berlangsung dalam sekolah, selain penggunaan kantin.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya kini di peringkat akhir perbincangan sebelum garis panduan terbabit diumumkan.

"Untuk pengoperasian sekolah ini, kita ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu. Kita kini dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0.

"Mengambil kira peralihan negara ke fasa endemik, beberapa perincian yang sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan garis panduan yang kita siapkan ini mengambil pandangan dari sudut kesihatan.

"Garis panduan itu juga meliputi aktiviti kokurikulum antara sekolah dibenarkan berbanding sebelum ini aktiviti itu hanya berlangsung di dalam sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengoperasian sekolah tanpa penggiliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Radzi berkata, bagi pelajar yang tinggal di asrama dan mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19 namun tidak bergejala, mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin kendiri dan boleh hadir ke kelas seperti biasa.

"Kita harap semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah memainkan peranan supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan," katanya.

Pada hari ini, seramai 130,177 murid dan pelajar yang sebelum ini terbabit dengan sistem penggiliran kembali hadir ke sekolah tanpa sistem berkenaan.

Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X