Sabtu, 16 April 2022 | 8:43pm
Mahdzir (dua dari kanan) bersama Syed Hussian (tiga kanan), Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat kanan) dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun (kanan) menyampaikan sumbangan pada Program Semarak Kasih Ramadan di FELDA Lubuk Merbau di Padang Terap. - NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mahdzir (dua dari kanan) bersama Syed Hussian (tiga kanan), Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat kanan) dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun (kanan) menyampaikan sumbangan pada Program Semarak Kasih Ramadan di FELDA Lubuk Merbau di Padang Terap. - NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR

Media perlu dedah lebih banyak kejayaan penduduk luar bandar - Mahdzir Khalid

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengharapkan media dapat memberikan lebih fokus dalam mendedahkan lebih banyak kejayaan penduduk di kawasan luar bandar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kejayaan boleh diketengahkan adalah program Kampung Sejahtera yang memberi banyak kelebihan untuk meningkatkan pendapatan serta ekonomi penduduk.

"Menerusi program Kampung Sejahtera ini mereka (penduduk luar bandar) mempunyai infrastruktur jalan dan kemudahan internet yang baik serta berkelajuan tinggi.

"Seperti di FELDA pula, kita ada Pusat Internet Desa. Kemudahan internet berkelajuan tinggi adalah asas yang sangat penting untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar.

"Inilah antara usaha yang sedang kita laksanakan dan bawa kepada penduduk di luar bandar," katanya ketika berucap sempena program Semarak Kasih Ramadan KPLB bersama Berita Harian di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengurus Besar Sokongan Jualan dan Pemasaran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengerusi Masjid Al Barakah, Sharunniza Md Tajuddin.

Lebih 300 penduduk FELDA Lubuk Merbau menghadiri majlis berbuka puasa sempena program yang berlangsung di perkarangan Masjid Al Barakah, di sini.

Program bermula seawal jam 7 pagi apabila penduduk bersama kakitangan KPLB bergotong-royong menyediakan juadah seperti bubur lambuk, gulai batang pisang dan nasi daging.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, Media Prima selaku kumpulan media terbesar di negara ini sedia bekerjasama dengan agensi di bawah KPLB dalam memberikan maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai usaha dilakukan kerajaan.

"Kita mempunyai banyak saluran di bawah Kumpulan Media Prima antaranya akhbar, radio, televisyen, kandungan digital dan lain-lain lagi.

"Insya Allah kita ada pakar dalam bidang masing-masing bagi memberi pendedahan dan menyampaikan maklumat mengenai apa sahaja dasar yang mahu diketengah agensi berkaitan," katanya.

Berita Harian X